Bertanding sebab layak, bukan kerana kurang upaya, kata calon Pakatan di Putrajaya


Kalidevi Mogan Kumarappa

Calon PH Dr Noraishah Mydin berkata jika terpilih mewakili Putrajaya, beliau akan mewakili seluruh rakyat dan bukan hanya OKU. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 14 November, 2022.

BEKAS pensyarah kanan Universiti Malaysia (UM) Dr Noraishah Mydin menjelaskan beliau dipilih sebagai calon pilihan raya kerana merit untuk memperjuangkan perubahan dan bukan kerana keadaan dirinya yang kurang upaya.

Noraishah yang menghidap penyakit spina bifida, iaitu masalah pada tulang belakang, sejak lahir juga menegaskan sekiranya terpilih mewakili Putrajaya di Dewan Rakyat nanti, beliau akan mewakili seluruh rakyat dan bukan hanya orang kurang upaya (OKU).

“Jangan salah faham, saya berada di sini untuk semua rakyat, tidak terhad kepada OKU kerana masih banyak kekurangan yang perlu diperbaiki dalam kerajaan sebelum ini,” katanya dalam satu wawancara di pejabatnya.

Noraishah mewakili Pakatan Harapan (PH) bertanding di Putrajaya mencabar penyandang kerusi itu bekas menteri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Beliau antara tujuh calon profesional yang diumumkan oleh PKR bertanding mewakili PH pada PRU15.

“Ini adalah panggilan daripada Tuhan Yang Maha Mengetahui untuk meneruskan perjuangan demi masyarakat OKU dan semua rakyat Putrajaya yang mahukan perubahan positif dan pemimpin bersih dari rasuah,” katanya.

Kerusi itu juga ditandingi seorang lagi bekas menteri Mohd Radzi Md Jidin bagi Perikatan Nasional (PN) serta Mohd Rosli Ramli dari Berjasa untuk Gerakan Tanah Air (GTA) dan dua calon bebas peguam Lim Fice Bee dan aktivis pengguna Samsudin Mohamad Fauzi.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018, Tengku Adnan mengekalkan kerusi yang disandangnya sejak 2004, namun dengan jumlah undi yang berkurangan, jatuh hampir 20%.

Noraishah, 47, adalah calon tunggal OKU pada PRU15, yang juga mencatatkan sejarah disertai 945 calon, yang tertinggi dalam sejarah pilihan raya di Malaysia.

Calon PH, Dr Noraishah Mydin berkata sebagai OKU beliau berdepan banyak kesulitan hidup, bukan sahaja sejak kecil tetapi begitu juga semasa jadi pensyarah di universiti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 14 November, 2022.

Beliau yang berpengalaman menjalankan kajian dalam bidang genetik dan bioteknologi perubatan letak jawatan pensyarah di Jabatan Parasitologi Fakulti Perubatan UM pada 4 November, sehari sebelum penamaan calon, untuk bertanding PRU15.

“Saya tidak akan menyesal dengan keputusan saya.

“Saya di sini kerana masih ramai pemimpin dan rakyat Malaysia yang kurang sensitif dengan keperluan OKU termasuk tandas, parkir, vaksinasi dan kemudahan asas lain,” katanya.

Noraishah mengemukakan lima tawaran khusus kepada penduduk di Putrajaya iaitu memartabatkan penjawat awam, memantapkan infrastruktur, mengawal kos sara hidup, membina generasi akan datang, dan menjamin keselamatan.

Katanya, beliau yakin dengan pengalamannya bergiat dalam isu-isu di kampus selama ini.

“Saya banyak mengetengahkan isu-isu mengenai hak kebebasan akademik dan kebebasan bersuara mahasiswa.

“Kehadiran saya di Dewan Rakyat kelak amat penting bagi memastikan suara golongan OKU yang sebelum ini sentiasa dipinggirkan bakal didengari dan diwakili.

“Misi dan visi saya amat jelas iaitu memperbaiki kepincangan dalam sistem perubatan Malaysia, hak-hak OKU dan masa hadapan Putrajaya,” katanya.

Dr Noraishah berkata sebagai OKU beliau berdepan banyak kesulitan hidup, bukan sahaja sejak kecil tetapi begitu juga semasa jadi pensyarah di universiti.

Beliau juga mendakwa sering dinafikan geran penyelidikan sejak sembilan lalu terutama oleh Kementerian Pengajian Tinggi.

“Saya tidak melalui laluan mudah sepanjang hidup di bumi ini dan saya bekerja keras sepanjang hidup untuk memahami masalah ‘spina bifida’ sehingga saya ke luar negara, bekerja di makmal terkemuka dunia untuk mempelajari mengenai kecacatan ini.

“Kamu tidak dapat mencari kumpulan penyelidik yang lebih baik dan saya satu-satunya individu di negara ini yang mempunyai makmal berfungsi mengenai kecacatan tiub saraf.

“Banyak kajian mengenai kecacatan neurotik yang sudah saya terbitkan,” katanya.

Noraishah juga berkata kekurangan fizikalnya bukan halangan untuk memberi khidmat kepada rakyat.

“Saya tidak akan berundur. Saya di sini untuk semua rakyat, untuk semua kanak-kanak seperti saya,” katanya. – 14 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen