Taliban haramkan wanita Afghanistan guna gim, tempat mandi awam


Kebanyakan pekerja wanita hilang pekerjaan atau dibayar sedikit untuk tinggal di rumah, malah mereka juga dilarang melancong tanpa saudara lelaki, dan mesti menutup muka dengan burqa atau tudung ketika keluar dari rumah. – Gambar AFP, 13 November, 2022.

BEBERAPA hari selepas mengharamkan wanita ke taman dan pesta ria, kerajaan Taliban Afghanistan melarang golongan tersebut menggunakan gim serta tempat mandi awam.

Wanita negara itu semakin terhimpit daripada kehidupan awam sejak Taliban menawan Afghanistan tahun lalu walaupun kumpulan pejuang Islam itu menjanjikan versi lebih lembut bagi peraturan tegas yang mencirikan tempoh pertama mereka berkuasa berakhir pada 2001.

Kebanyakan pekerja kerajaan wanita kehilangan pekerjaan – atau dibayar sedikit untuk tinggal di rumah – manakala wanita juga dilarang melancong tanpa saudara lelaki, dan mesti menutup muka dengan burqa atau tudung ketika keluar dari rumah.

Sekolah untuk remaja perempuan juga ditutup di kebanyakan kawasan sejak Taliban kembali berkuasa pada Ogos 2021.

“Gim ditutup kepada wanita kerana jurulatih mereka adalah lelaki dan sebahagian daripadanya adalah gim gabungan,” kata jurucakap Kementerian Pencegahan Maksiat dan Promosi Kebajikan, Mohammad Akif Sadeq Mohajir kepada AFP.

Beliau berkata “hammam” – bilik mandi awam yang sentiasa diasingkan mengikut jantina – kini juga tidak dibenarkan.

“Pada masa ini, setiap rumah mempunyai bilik air di dalamnya, jadi ia tidak akan menjadi masalah kepada wanita,” katanya.

Sana, 23, pelajar universiti, memberikan penjelasan berbeza.

“Sebab utama larangan ke taman, gimnasium dan hammam terletak pada ideologi anti-wanita Taliban,” katanya kepada AFP.

“Afghanistan hari ini bertukar menjadi penjara bawah tanah buat wanita. Mereka mahu menghantar wanita ke neraka.

“Hari ini, dengan larangan kemudahan ini, wanita dipenjarakan sepenuhnya di rumah.” – AFP, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen