Khalid Samad iltizam selesai isu perumahan, projek terbengkalai


Calon Pakatan Harapan untuk Parlimen Titiwangsa Khalid Samad berkata beliau akan selesaikan isu perumahan dan projek terbengkalai di Pasar Chow Kit jika rakyat beri mandat pada PRU15 ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

CALON Pakatan Harapan (PH) bagi kerusi Parlimen Titiwangsa Khalid Abdul Samad beriltizam untuk menyelesaikan isu projek terbengkalai di Pasar Chow Kit jika rakyat memberinya mandat pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Beliau berkata sekiranya PH diberikan mandat membentuk kerajaan selepas PRU15, ia antara perkara utama yang akan diselesaikan memandangkan projek tersebut sudah lama terbengkalai dan memerlukan tindakan segera.

“Kalau dapat membentuk kerajaan seterusnya, Kementerian Wilayah Persekutuan dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur akan diarahkan untuk memberi keutamaan kepada projek ini dan projek Pasar Keramat,” katanya pada sidang media di Kuala Lumpur hari ini.

Difahamkan, pembangunan Pasar Chow Kit terbengkalai hampir 10 tahun yang menyebabkan ada peniaga yang terpaksa menutup perniagaan mereka.

Sementara itu, Khalid yang juga bekas menteri Wilayah Persekutuan berkata ketika berkhidmat dalam kerajaan, Program Perumahan Rakyat (PPR) telah diberi nafas baharu menerusi kerjasama dengan syarikat pemaju perumahan.

“Syarikat pemaju perumahan dulu dia ambil satu PPR sebagai PPR angkat dan menjaga landskap dan aspek penyelenggaraan.

“Itu sepatutnya diteruskan namun tidak dilakukan (selepas kerajaan berubah). Lebih baik kalau diadakan hubungan lebih baik di antara PPR dengan syarikat pemaju,” kata Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara itu.

Kerusi Parlimen Titiwangsa menyaksikan pertembungan antara Khalid dengan Johari Abdul Ghani (BN-Umno) selain Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat Rosni Adam daripada Perikatan Nasional manakala Pejuang mempertaruhkan pengerusi parti itu bagi Wilayah Persekutuan Khairuddin Abu Hassan. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen