Pemulihan ekonomi pasca pandemik dibincangkan pada Dialog Global Asean


Perdana Menteri Kemboja Hun Sen berkata Dialog Global Asean dijalankan khusus untuk menggalakkan pemulihan ekonomi serantau dan global. – Gambar AFP, 13 November, 2022.

DIALOG Global Asean kedua berlangsung di ibu negara Kemboja pada Ahad dengan tumpuan pada pemulihan mampan ekonomi pasca pandemik Covid-19.  

Berucap pada forum itu, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen berkata dialog peringkat tinggi itu dijalankan khusus untuk menggalakkan pemulihan ekonomi serantau dan global.

Ia memberi tumpuan kepada dua topik - “Bekerja Bersama Ke Arah Pemulihan Ekonomi Inklusif” dan “Membina Asean berdaya tahan dan mampan dalam era pasca Covid-19,” katanya, menurut agensi berita Xinhua.

“Covid-19 bukan sahaja mengancam dan meragut berjuta-juta nyawa, malah telah menimbulkan kesan negatif yang teruk terhadap aktiviti sosial, ekonomi, perdagangan dan pelaburan,” kata Hun Sen.

“Berpunca daripada krisis Covid-19, kita boleh mengatakan bahawa keadaan global berada dalam kedudukan bahaya daripada aspek sosial, ekonomi dan politik dan dalam situasi lain ia dilihat semakin teruk tanpa sebarang peningkatan dan kemajuan yang ketara sama sekali,” katanya.

Pemimpin Kemboja itu berkata cabaran itu perlu ditangani bersama demi manfaat semua, lapor Xinhua.

Dialog itu menyusul Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dan menghimpunkan pemimpin atau wakil Asean, rakan dialognya dan institusi antarabangsa utama. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen