Delegasi Korea Selatan ke Pyongyang hari ini


Presiden Korea Selatan Moon Jae-in (kanan) berbual dengan Kim Yo Jong, adik kepada pemimpin Korea Utara ketika menyaksikan Orkestra Samjiyong Pyongyang di Seoul pada 11 Februari. – Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

SEPASUKAN utusan khas Korea Selatan akan ke Pyongyang hari ini bagi mendesak rundingan antara Washington dan Korea Utara berkenaan senjata nuklear.

Proses pemulihan semula hubungan kedua-dua negara bermusuh itu dapat dilihat dilakukan bersungguh-sungguh di Olimpik Musim Sejuk Pyeongchang bulan lalu, dengan pemimpin Korea Utara Kim Jong-un menghantar adik perempuannya sebagai utusan khas ke acara itu.

Lawatan Kim Yo Jong ke Korea Selatan itu yang pertama dilakukan ahli keluarga dinasti pemerintah Korea Utara sejak berakhirnya perang Korea dan kemunculannya di acara pembukaan sukan itu mendapat perhatian dunia.

Presiden Korea Selatan Moon Jae-in cuba menggunakan Olimpik Pyeongchang untuk membuka ruang dialog antara Washington dan Pyongyang dengan harapan untuk meredakan isu nuklear yang sentiasa menggugat keselamatan dunia.

Beliau memilih lima pegawai kanan kerajaan – termasuk penasihat keselamatan negara Chung Eui-yong dan ketua perisik Suh Hoon untuk melawat Pyongyang hari ini.

Suh berpengalaman luas dalam berurusan dengan Korea Utara. Beliau dikenali sebagai individu yang terbabit dalam rundingan untuk mengatur persidangan antara dua wilayah Korea itu pada 2000 dan 2007.

Kumpulan 10 ahli itu – dengan lima delegasi kanan dan lima pegawai sokongan – akan ke Pyongyang pada petang ini dan kembali ke Seoul pada keesokan harinya.

Agensi berita rasmi Korea Utara turut mengumumkan kunjungan itu.

Delegasi itu akan ke Amerika Syarikat pada Rabu untuk menjelaskan keputusan lawatan dua hari berkenaan kepada Washington, menurut pejabat presiden Korea Utara.

Tahun lalu, terus berdegil dan tidak mempedulikan sekatan dikenakan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, Korea Utara yang memencilkan diri melancarkan ujian nuklearnya yang paling berkuasa menerusi tembakan ujian beberapa peluru berpandu. Pyongyang mendakwa ia boleh menyerang Amerika Syarikat. – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen