Putera mahkota Arab Saudi lawat Mesir


Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menyambut ketibaan putera itu di lapangan terbang Kaherah selepas Putera Mohammed Salman keluar dari pesawatnya dan menuruni tangga serta laluan berpermaidani merah. – Gambar AFP, 5 Mac, 2018.

PUTERA Mahkota Arab Saudi Putera Mohammed Salman mengadakan rundingan di ibu kota Mesir semalam ketika memulakan lawatan kerja luar negaranya sebagai pewaris takhta.

Presiden Mesir Abdel Fattah al-Sisi menyambut ketibaan putera itu di lapangan terbang Kaherah selepas beliau keluar dari pesawatnya dan menuruni tangga serta laluan berpermaidani merha.

Ketua pejabat Putera Mohammed, Bader al-Asaker menerusi Twitter berkata pesawat putera berkenaan diiringi jet pejuang Mesir ketika memasuki ruang udara Mesir.

Putera Mohammed dan Sisi, sekutu utama wilayah itu bersetuju untuk berunding tentang merangsang hubungan ekonomi dan melancarkan projek bersama, khususnya dalam sektor pelancongan di Laut Merah, kata jurucakap presiden Mesir, Bassam Radi.

Putera berkenaan berlepas ke Britain pada Rabu dan dijadualkan ke Amerika Syarikat penghujung bulan ini.

Arab Saudi melihat Mesir sebagai batu asas untuk kestabilan wilayah itu, selepas bekas ketua tentera Sisi menggulingkan pendahulunya, Mohamed Morsi pada 2013.

Riyadh melihat gerakan Morsi, Ikhwanul Muslimin dengan penuh curiga dan pada satu ketika pernah memanggil pulang dutanya dari Kaherah.

Pada 2015, ketika lawatan Raja Salman ke Kaherah, kedua-dua negara bersetuju untuk memindahkan dua pulau di Laut Merah ke Arab Saudi, hingga mencetuskan bantahan di Mesir.

Lawatan Putera Mohammed diadakan menjelang pilihan raya presiden Mesir pada hujung Mac, dengan Sisi dijangka menang.

Lawatan itu akan diterjemahkan sebagai bukti sokongan Arab Saudi terhadap Sisi untuk kekal sebagai presiden Mesir. – AFP, 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen