PRU15: Naratif sama tetapi pengundi berbeza


Jahabar Sadiq

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini akan menyaksikan pengundi dalam kalangan golongan lebih muda dan mahukan masa depan yang lebih baik, bukannya lagi berbincang tentang masa lalu yang pahit. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

NARATIF untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) ini sebahagiannya adalah sambungan daripada pilihan raya umum yang lepas yang menyingkirkan kerajaan Barisan Nasional.

1MDB, Najb Razak, rasuah, dan ketirisan, yang menjadi tanda PRU14, malah dengan suara sama yang berulang-ulang.

Tetapi calonnya sekarang lain, dan khalayaknya juga tidak sama. Mereka lebih muda dan mahukan masa depan yang lebih baik, bukannya lagi berbincang tentang masa lalu yang pahit.

Jumlah khalayaknya juga jauh berbeza daripada 2018, ketika ribuan orang meredah hujan, padang yang becak dan lorong-lorong jalan untuk mendengar tokoh-tokoh politik berceramah tentang perubahan.

Ini jelas kelihatan di Bandar Baru Bangi malam tadi. Peguam Syahredzan Johan masuk ke gelanggang pilihan raya mewakili Pakatan Harapan bertanding kerusi Parlimen Bangi.

Syahredzan, yang menggantikan Ong Kian Min bertanding di kawasan Parlimen terbesar di Malaysia dengan 303,340 pengundi terpaksa bercakap tentang isu-isu selain daripada yang disentuh oleh Tony Pua. Pemimpin DAP itu sebelumnya bercakap tentang tempoh selepas PH menang pilihan raya 2018.

Ada beberapa orang lain juga naik berceramah dari atas belakang sebuah kereta pikap tetapi tiada pemimpin kanan yang datang berkempen untuk Syahredzan.

Orang ramai yang datang dari pelbagai latar belakang, yang setengah umur dan muda, yang memakai kopiah dan tudung, serta yang memakai jean, baju T dan skirt.

Seperti ceramah Muda di Tanjung Karang beberapa hari sebelumnya, ceramah ini disifatkan rapat umum mega tetapi hadirin lebih kurang 250 orang sudah cukup baik.

Apatah lagi, ceramah ini dibuat bertentangan dengan pejabat ISMA, sebuah pertubuhan Islam yang kuat di Bangi, yang bekas anggotanya juga bertanding di Bangi bawah Gerakan Tanah Air pimpinan Dr Mahathir Mohamad.

Pertembungan itu jelas apabila Syahredzan terpaksa menjelaskan beliau tetap seorang Melayu dan Muslim walaupun jadi ahli DAP.

Beliau juga menekankan partinya mendukung Anwar Ibrahim – juga seorang Melayu dan Muslim – sebagai calon perdana menteri PH.

Di kawasan pilihan raya yang separuh pengundinya Melayu dan Muslim, apa yang ditegaskan oleh Syahredzan lebih mustahak berbanding melawan rasuah atau menghapuskan ketirisan dalam kerajaan.

Dalam sebuah pilihan raya yang pengundi Melayunya terpecah sementara tiga daripada empat gabungan yang bersaing dengan jelas menegaskan mereka memperjuangkan kaum itu, setiap undi Melayu yang diraih calon DAP penting untuk menang.

Lebih-lebih lagi dalam masa enam hari sebelum pengundian 19 November ini. – 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen