Presiden COP27, FAO lancar inisiatif makanan bantu komuniti paling terkesan


Presiden COP27 Sameh Shoukry berkata impak perubahan iklim memberi kesan kepada komuniti rentan di seluruh dunia. – Gambar AFP, 13 November, 2022.

MESIR yang menjadi presiden bagi persidangan iklim PBB yang sedang berlangsung serta Pertubuhan Makanan dan Pertanian (FAO) di Sharm El-Sheikh hari ini melancarkan inisiatif makanan dan pertanian, untuk meningkatkan sumber iklim bagi membantu komuniti yang paling mudah terjejas.

Dalam satu kenyataan presiden bagi sesi ke-27 Persidangan Pihak-pihak (COP27) kepada Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) berkata inisiatif itu yang dikenali Makanan dan Pertanian untuk Transformasi Lestari (FAST) akan memperbaharui sistem agrimakanan.

Sistem baharu itu akan menghasilkan tiga kali ganda manfaat masing-masing untuk manusia, tindakan iklim dan alam semula jadi, lapor Xinhua.

Presiden COP27 itu dalam kenyataan berkata keutamaan dalam tindakan FAST adalah akses kepada kewangan, pengetahuan dan kapasiti serta sokongan dasar serta dialog.

“Melalui inisiatif FAST kami akan menggerakkan dunia untuk memanfaatkan aliran kewangan bagi meningkatkan daya tahan iklim dan melaksanakan transformasi yang diperlukan segera merentas sistem agrimakanan,” kata Presiden COP27 Sameh Shoukry.

“Untuk menangani ketidakseimbangan ini kita perlu membangunkan sistem pertanian dan makanan yang mampan serta memenuhi keperluan mendesak negara membangun yang mengimport makanan,” katanya.

Shoukry berkata impak perubahan iklim memberi kesan kepada komuniti rentan di seluruh dunia.

Sementara itu Timbalan Ketua Pengarah FAO Maria Helena Semedo berkata tindakan berani perlu untuk mengubah sistem agrimakanan membantu negara-negara serta memastikan sumber sampai kepada pengeluar makanan merentasi rantaian nilai.

COP27 bermula pada 6 November di bandar pesisir pantai Mesir, Sharm El-Sheikh dengan negara-negara bekerjasama untuk menangani perubahan iklim global. – Bernama, 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen