Prabakaran belum puas berkhidmat di Batu


Lionel Morais

P Prabakaran mencipta sejarah sebagai wakil rakyat termuda selepas memenangi kerusi Parlimen Batu dalam PRU14 pada 2018. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.

P PRABAKARAN mencipta sejarah sebagai wakil rakyat termuda selepas memenangi kerusi Parlimen Batu dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) pada 2018, ketika itu usianya 22 tahun.

Sepanjang tempoh empat tahun berkhidmat sebagai ahli Parlimen, hampir separuh daripada tempoh tersebut usaha beliau banyak tertumpu kepada usaha menangani pandemik Covid-19.

Namun secara tidak langsung rancangannya untuk menyediakan perumahan yang lebih baik bagi kawasan penduduk B40 terpaksa ditangguhkan walau perbincangan bersama pemaju dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah dimulakan pada 2019.

“Ini menjadi manifesto penting saya kali ini. Apa yang saya lihat perumahan di kawasan B40 sudah tidak sesuai lagi dengan keadaan sekarang.

“Pertama, rumah yang sangat sempit, dengan keluasan antara 550 hingga 600 kaki persegi,” kata Prabakaran, 26, dalam wawancara bersama The Malaysian Insight.

Menurut Prabakaran, ketika mula berkhidmat sebagai wakil rakyat di Parlimen Batu, pemaju menghadapi masalah dengan DBKL susulan prosedur operasi standard ketat pihak berkuasa tempatan mentadbir bandar raya Kuala Lumpur.

“Itu antara cabaran yang saya hadapi. Jadi sekarang saya perlu wujudkan situasi menang-menang antara kedua-dua pihak.”

Menurutnya lagi arahan yang diberi kepada pemaju juga mudah.

“Katakanlah projek tersebut di atas tanah seluas dua ekar. Satu ekar diperuntukkan untuk perumahan, dan selebihnya pemaju boleh bina pembangunan bercampur. Terpulang kepada mereka.

“Tetapi rumah yang dibina mesti selesa, keluasan minimum 1,000 kali persegi dengan tiga bilik tidur dan dua bili air. Ini manifesto utama saya. Sukar, tetapi boleh dilaksanakan,” jelasnya.

Prabakaran bagaimanapun tahu beliau berdepan tugas sukar mempertahankan kerusi yang disandangnya dalam PRU15 minggu depan.

Kawasan Parlimen Batu medan pertempuran terhangat pada pilihan raya umum kali ini apabila 10 calon menawarkan diri bertanding bagi merebut kerusi itu.

Kali ini, Prabakaran berdepan A Kohilan Pillay daripada Barisan Nasional (BN), Azhar Yahya yang mewakili Perikatan Nasional (PN), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Turut mencuba nasib adalah empat calon bertanding atas tiket Bebas iaitu Chua Tian Chang (Tian Chua), peguam Siti Zabedah Kassim, pempengaruh Nur Fathiah Syazwan Shaharudin atau lebih dikenali sebagai Cleopatra dan Too Cheng Huat.

Parlimen Batu mempunyai 113,863 pengundi berdaftar dengan pecahan komposisi Melayu (43%), Cina (30%), India (20%) dan lain-lain (7%).

Menyifatkan Parlimen Batu sebagai “Mini Malaysia”, Prabakaran berkata penyokong terbesarnya adalah dalam kalangan masyarakat Cina dan India, namun yakin beliau dapat memenangi hati pengundi Melayu.

“Saya berasal dari kampung Melayu (Taman Pelangi). Orang Melayu di sana kenal saya dan berjanji akan menyokong saya.

“Saya juga dikenali di Taman Batu Muda yang dikuasai BN. Banyak program yang saya telah jalankan di sana, membaiki padang permainan, menyediakan tempat letak motosikal.

“April lalu DBKL meluluskan RM3.5 juta untuk menambah baik jalan dan parit di sana. Ini satu pencapaian yang besar, dan penduduk tahu tentang perkara ini.

Kawasan Parlimen Batu medan pertempuran terhangat pada pilihan raya umum kali ini apabila 10 calon menawarkan diri bertanding bagi merebut kerusi itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 13 November, 2022.

Berikut petikan temu bual The Malaysian Insight  (TMI) bersama Prabakaran:

TMI: Seandainya PKR menggugurkan anda dan meletakkan Tian Chua bertanding semula di sini, adakah anda akan bertanding atas tiket Bebas?

Prabakaran: Tidak. Saya akan menyokong Tian Chua sepenuhnya kerana saya setia kepada parti, tidak mahu parti berpecah belah.

Bagaimana anda terpilih bertanding semula di sini?

Rafizi (Naib Presiden PKR Rafizi Ramli) bangunkan sistem tapisan calon melalui firma penyelidikan Invoke yang diasaskannya. Mereka meneliti setiap calon dan melalui cara itulah calon yang betul dikenal pasti. 

Lagipun, mereka yang menang dalam pemlilihan parti beberapa bulan lepas memberi cadangan siapa yang harus bertanding. Semua orang serahkan nama dari peringkat cabang hingga ke atas untuk dapat kelulusan Anwar (Presiden PKR Anwar Ibrahim).

Sistem tersebut memilih calon yang tepat. Malah pada peringkat pertama tapisan di Cabang Batu, tiada nama Tian Chua. Pucuk pimpinan tahu Tian Chua mahu bertanding atas tiket Pakatan Harapan (PH) kerana beliau telah adakan sidang media dan keluarkan kenyataan mahu bertanding di Batu.

Tian Chua ada datang berjumpa anda?

Ada, minggu lepas. Tian Chua hubungi saya melalui salah seorang pembantu saya. Kami ada bukti, tangkap layar, semuanya ada. Beliau beritahu saya mesti pulangkan semula watikah pencalonan kepada Anwar untuk diberi kepadanya. Beliau juga beritahu saya patut bertanding di kerusi DUN. Beliau yang hubungi pembantu saya, saya tak sembunyikan apa-apa.

Tetapi dalam laporan berita anda minta Tian Chua tarik balik pencalonan. Mengapa?

Kerana agenda kami sama. Saya dari PKR dan dia bekas ahli PKR. Kami sama-sama mahu Anwar jadi perdana menteri. Saya tak mahu pengundi keliru nanti.

Sejak bila anda tidak sehaluan dengan Tian Chua?

Sejak Langkah Sheraton. Walaupun kami berdua dalam parti yang sama, tetapi kami berbeza prinsip politik. Tian Chua terlibat secara langsung dalam Langkah Sheraton.

Beliau adakan sidang media bersama Azmin (bekas naib presiden PKR Mohames Azmin Ali). Walaupun kemudian tarik diri, PKR kecewa dengan Tian Chua. Beliau juga tak mahu lepaskan jawatan dalam GLC (syarikat berkaitan kerajaan) sehingga diberi peringatan dan amaran.

Pandangan tentang peluang anda di Batu apabila ditentang sembilan pencabar?

Keyakinan untuk menang ada tetapi saya perlu bekerja lebih keras kerana tidak mahu hanya bersandarkan kepada andaian saya pasti menang kerana bertanding atas tiket PH. Saya mahu menang atas diri sendiri. Walaupun sukar, satu lawan sembilan, saya ingin buktikan  PH menang di sini kerana Prabakaran. Itu yang saya mahukan.

Anda menang pada PRU14 kerana mendapat sokongan Tian Chua dan bantuan jentera PH. Kali ini anda ada pasukan sendiri dan berlawan dengan Tian Chua. Adakah ini akan menjejaskan peluang anda?

Ini bukan pertandingan antara saya dan Tian Chua. Saya mengaku dulu Tian Chua bantu saya. Tetapi saya juga boleh kata siapa sahaja yang bertanding pada masa itu (PRU14) akan menang. 

Prinsip politik kami sekarang berbeza, beliau pilih jalan yang salah. Saya masih setia pada Anwar walau diuji dengan banyak cabaran dalam parti dan di kawasan saya, jadi mengapa saya tidak boleh bertanding semula di Batu? Saya ada jentera pilihan raya sendiri, tak ada skandal besar, jadi kenapa saya tak layak untuk menang?

Pengundi yang menangkan Tian Chua pada 2008 sekarang menyokong saya. Keputusan beliau untuk bertanding atas tiket Bebas menjejaskan PKR di Batu dan sebab itu penyokongnya marah.

Bagi anda siapa pencabar terkuat di Batu?

Ustaz Azhar dari PN. Beliau berasal dari sini. Hanya tiga calon tempatan bertanding di sini, sementara yang lain adalah orang luar. Azhar yang juga dari PAS aktif di kawasan Batu. 

Pada 2018, PAS mendapat 10,000 undi manakala Gerakan 13,000 undi. Sekarang oleh kerana Gerakan juga di bawah PN, jadi undi mereka mungkin beralih ke PAS. Tetapi undi akan berpecah. Saya peroleh 24,000 majoriti undi semasa PRU14.

Pencapaian anda dalam penggal pertama? Apakah isu yang belum diselesaikan?

Ada banyak isu yang belum dapat diselesaikan. Banyak janji yang tidak tertunai kerana Covid-19. Saya begitu aktif pada 2018, 2019 dan 2020, dan menyelesaikan banyak isu penting. Isu paling besar adalah banjir. Saya bekerjasama dengan DBKL tambah baik sistem perparitan. Sekarang kita cuma alami banjir kilat di jalan raya kerana longkang tersumbat.

Inisiatif terbaik ialah perkhidmatan bas percuma di Batu, tidak pernah dibuat sebelum ini. Saya yang cadangkan kepada DBKL. Kebanyakan bas percuma di Kuala Lumpur, digunakan warga asing dan pelancong. Jadi kami cadangkan supaya laluan bas percuma dipanjangkan ke kawasan perumahan di mana kebanyakan golongan B40 tinggal, dan cadangan itu diluluskan.

Laluan bas percuma sekarang dari kawasan rumah kos rendah Batu Muda sehinggalah ke pusat transformasi bandar di Bandar baru Sentul, di mana ada flat kos rendah, klinik kesihatan, masjid dan gereja. Sekarang Sentul sudah ada khidmat bas percuma setiap jam dan ini atas usaha saya.

Pengalaman anda sebagai ahli Parlimen?

Anda perlu berada turun padang untuk tahu isu dan masalah yang dihadapi rakyat. Ini paling penting. Melalui cara ini saya akan tahu apa yang perlu dilakukan. Saya tak akan faham kalau cuma dengar dari pasukan saya. Saya kena bercakap dengan penduduk dan lihat sendiri. Misalnya di kawasan perumahan, saya adakan libat urus dengan persatuan penduduk, jadi banyak isu dapat diselesaikan. 

Apa yang akan anda lakukan jika menang sekali lagi?

Saya akan bina lebih banyak pusat khidmat di kawasan yang padat penduduk. Buat masa ini saya cuma ada satu. Jika PH menang dan jadi kerajaan, saya akan bawa khidmat agensi kerajaan seperti DBKL, Jabatan Perumahan dan Jabatan Kebajikan Masyarakat kepada rakyat kerana ramai orang tidak tahu bagaimana untuk dapatkan bantuan. Kami akan dirikan cawangan kecil di Bandar baru Sentul, Sentul dan Jinjang. – 13 November, 2022.   


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen