MYANMAR secara mutlak menolak dan memisahkan diri daripada semakan semula Konsensus Lima Perkara (5PC) yang diputuskan oleh sembilan pemimpin Asean pada Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, pada Jumaat.
Dalam satu kenyataan, Kementerian Luar Negeri Myanmar juga berkata negara itu membantah sekeras-kerasnya dan mengutuk percubaan Asean untuk terlibat dengan “organisasi yang menyalahi undang-undang dan berkait pengganas” di negara itu melalui sebarang cara dan bentuk.
“Gesaan untuk terlibat dengan organisasi yang menyalahi undang-undang dan pengganas boleh menggalakkan aktiviti keganasan selain melanggar Perkara 2 Piagam Asean serta Konvensyen Asean dan Antarabangsa mengenai memerangi keganasan,” katanya.
Selain itu, ia berkata semakan dan keputusan mengenai pelaksanaan 5PC tidak menggambarkan keadaan di lapangan dan tidak memasukkan sebarang usaha konstruktif yang dibuat oleh kerajaan Myanmar dalam melaksanakan 5PC.
“Myanmar kecewa kerana Asean mengabaikan kemajuan ketara yang dicapai dalam pelaksanaan 5PC,” katanya sambil menambah bahawa Myanmar telah bekerjasama secara konstruktif dengan Duta Khas Pengerusi Asean dalam melaksanakan 5PC.
Memandangkan pelaksanaan 5PC merupakan proses yang berterusan, kenyataan itu berkata tekanan tambahan dengan menetapkan jangka masa akan mewujudkan lebih banyak implikasi negatif.
“Beberapa ungkapan dalam dokumen itu sama seperti campur tangan hal ehwal dalaman sesebuah negara anggota, dan bertentangan dengan prinsip dan peruntukan asas dalam Piagam Asean. Oleh itu, Myanmar secara mutlak menolak dan memisahkan dirinya daripada semakan dan keputusan yang dibuat,” kata kenyataan itu.
Kementerian itu mengesahkan Myanmar akan terus mematuhi Perkara 20 Piagam Asean dalam membuat keputusan iaitu melalui “perundingan dan konsensus” oleh kesemua sepuluh negara anggota Asean dan akan membantah sebarang perbincangan atau keputusan tanpa penglibatan negara itu.
Ketua junta Myanmar Min Aung Hlaing tidak dijemput untuk menghadiri Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh dan sebaliknya wakil bukan politik dari Myanmar telah dijemput untuk menghadiri mesyuarat tersebut.
Myanmar berkata tindakan perwakilan yang tidak setara itu bercanggah dengan Perkara 5 Piagam Asean mengenai “Hak dan Kewajipan”.
“Memandangkan Myanmar mematuhi sepenuhnya prinsip dan peruntukan asas yang termaktub dalam Piagam Asean sambil mengambil bahagian secara aktif dalam Asean sebagai negara anggota yang bertanggungjawab, Myanmar tidak menerima jemputan yang mendiskriminasi tahap perwakilannya dalam kalangan negara anggota,” katanya.
Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja, pemimpin Asean menyatakan bahawa (5PC) akan kekal sebagai rujukan yang sah dalam mencari penyelesaian untuk Myanmar dan harus dilaksanakan secara menyeluruh.
Dalam semakan itu, pemimpin Asean juga menyatakan tentang kemajuan yang tidak ketara dalam melaksanakan 5PC oleh junta bagi memulihkan keamanan dan kestabilan di Myanmar dan perlunya pelan pelaksanaan bagi menggariskan petunjuk konkrit, praktikal dan boleh diukur dengan garis masa khusus untuk menyokong 5PC.
Sejak junta menggulingkan kerajaan awam yang diketuai Aung San Su Kyi dalam rampasan kuasa pada 1 Feb 2021, berlaku pergolakan di Myanmar yang menyaksikan pertempuran antara orang awam dan angkatan bersenjata yang kerap berulang, menyebabkan jumlah kematian yang besar dalam kalangan orang awam. – Bernama, 12 November, 2022.
Komen