Dr Mahathir minta Cina sokong GTA untuk kerajaan bersih


Dr Mahathir Mohamad meminta orang Cina menyokong GTA untuk membentuk kerajaan yang bersih. – Gambar fail The Malaysian Insight, 12 November, 2022.

DR Mahathir Mohamad meminta pengundi Cina memberikan sokongan kepada kerjasama Melayu, Gerakan Tanah Air yang diterajui Pejuang untuk membentuk kerajaan yang bersih.

Katanya, walaupun partinya dan pakatan itu pro orang Melayu, mereka tidak anti orang Cina.

Beliau turut menjelaskan yang Pejuang dibentuk sebagai parti Melayu untuk melawan Umno yang korup.

“Pejuang adalah parti Melayu yang bukan anti Cina tetapi melawan orang Melayu yang tidak adil.

“Dan kami mahu menumbangkan kerajaan itu pada pilihan raya ini dan mewujudkan kerajaan baru terdiri daripada orang yang bebas daripada sebarang kesalahan jenayah.

“Kami harap orang Cina akan memberikan sokongan mereka. Di Malaysia, ada kawasan yang orang Cina majoriti dan orang Melayu minority.

“Ada juga kawasan yang orang Melayu majoriti, dan orang Cina minority, jadi orang Melayu terpecah empat.

“Jika orang Cina sokong parti itu, ia akan menang. Jadi saya harap orang Cina akan bantu GTA,” katanya kepada wartawan pada majlis bersama komuniti Cina di Pekan Cina, Alor Setar, hari ini, lapor NST.

Dr Mahathir yang mempertahankan kerusinya di Langkawi, turut menjelaskan kepada komuniti Cina bagaimana Pejuang boleh menyelamatkan negara ini.

“Saya harap orang Cina akan membantu GTA menjadi kerajaan dan bila kami jadi kerajaan, kami akan singkirkan orang jahat yang berada di dalamnya sekarang.

“Kita aka nada kerajaan baik yang patuh undang-undang dan melayan semua kaum menurut Perlembagaan Persekutuan.

“Kita akan bentuk kerajaan bersih dan akan bekerja sehingga akhirnya Malaysia kembali menjadi ‘Harimau Asia’  dan pada ketika itu saya yakin yang orang Cina, Melayu, India akan dilayan baik dan perniagaan boleh dilakukan tanpa gangguan,” katanya.

GTA-dibentuk oleh Pejuang, Putra, Berjasa, Iman dan Gagasan Bangsa- bertanding di 121 kerusi Parlimen seluruh negara pada Pilihan Raya Umum Ke-15.

Majoriti kerusi ditandinginya adalah di kawasan majoriti Melayu.

PRU15 dijangka menyaksikan persaingan sengit parti Melayu untuk meraih undi orang Melayu dengan perlawanan antara GTA, Pakatan Harapan, Perikatan Nasional dan Barisan Nasional di banyak kerusi. – 12 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen