Pengundi Batu mahu masalah mereka diselesaikan


Noel Achariam

Kerusi Parlimen Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru pada pilihan raya umum ke 15.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.

RUMAH mampu milik, kebajikan untuk golongan memerlukan, pendidikan, lesen peniaga dan kawasan parkir.

Itu merupakan antara isu yang membelenggu pengundi di kawasan Parlimen Batu sejak sekian lama dan mereka menuntut wakil rakyat untuk selesaikan masalah ini. 

Mereka tidak mahu calon yang hanya akan berdiam diri tetapi menangani isu berbangkit secara berterusan.

Pengundi Batu masih membuat keputusan untuk memilih calon dalam kalangan 10 calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen ini.

Salah seorang penduduk Mohd Razif Zamri, 45, berkata, apa yang paling diperlukan rakyat adalah lebih banyak rumah mampu milik.

“Kos rumah di sini sangat mahal. Sukar untuk dibeli malah lebih sukar untuk mendapatkan pinjaman tanpa pendapatan tetap. Rumah paling murah yang kita boleh lihat ialah lebih RM300,000.

“Dengan kos sara hidup kita sekarang, ia sukar kerana sewa juga tinggi,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Razif yang mempunyai lima anak berusia antara empat hingga 18 tahun berharap wakil mereka dapat membantu dengan kos sara hidup dan harga barang yang tinggi.

“Setiap bulan saya perlu membelanjakan lebih daripada RM300 untuk membeli pampers dan susu. Semuanya terlalu mahal.”

Beliau berkata, satu lagi isu yang perlu ditangani segera ialah tempat letak kereta tidak teratur di seluruh kawasan.

“Lebih-lebih lagi di rumah pangsa kos rendah dan kawasan sekitar. Ada keluarga yang mempunyai lebih daripada satu kereta, jadi mereka letak kereta di merata tempat.

“Kami juga tidak dapat mencari tempat letak kereta apabila kami pergi ke pasar, klinik dan berurusan di Pusat Transformasi Bandar (UTC) Sentul.”

Beliau mencadangkan agar tempat letak kereta bertingkat dibina bagi menangani isu tersebut.

Batu menyaksikan pertandingan 10 penjuru dengan empat calon Bebas pada pilihan raya kali ini.

Penduduk, Mohd Razif Zamri mahukan lebih banyak rumah mampu milik disediakan kepada penduduk di kawasan Parlimen Batu.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022..

Selain penyandang P. Prabakaran, calon lain yang bertanding ialah A. Kohilan Pillay (Barisan Nasional), Azhar Yahya (Perikatan Nasional), Wan Azliana Wan Adnan (Pejuang), Naganathan Pillai (Warisan) dan Mohd Zulkifli Abdul Fattah (Parti Rakyat Malaysia).

Calon bebas ialah bekas ahli Parlimen Batu selama dua penggal Chua Tian Chang, peguam Siti Kasim, pempengaruh media sosial Nur Fathiah Syazwana Shaharudin dan aktivis sosial Too Cheng Huat.

Prabakaran memenangi kerusi itu sebagai calon Bebas pada pilihan raya 2018, dengan sokongan Tian Chua. Beliau akan mencabar bekas naib presiden PKR yang dipecat daripada parti kerana bertanding sebagai calon bebas.

Tian Chua hilang kelayakan bertanding pada pilihan raya umum 2018 berikutan dikenakan denda RM2,000 kerana menghina seorang pegawai polis.

Pada PRU14, Prabakaran memperoleh 38,125 undi, menewaskan Dominic Lau Hoe Chai dari Barisan Nasional (13,687 undi), calon PAS Azhar Yahya (10,610) dan calon bebas VM Panjamothy (383).

Parlimen Batu dianggarkan mempunyai lebih 113,000 pengundi, selepas mereka yang berumur antara 18 dan 20 tahun ditambah dalam campuran dengan pendaftaran pengundi automatik.

Komposisi etniknya terdiri daripada Melayu 43%, diikuti Cina (30%), India (20%) dan lain-lain (7%).

Razif berkata bukan mudah untuk memilih calon yang betul kerana beliau percaya kedua-dua Tian Chua dan Prabakaran telah menyumbang kepada masyarakat.

“Kami telah melihat beberapa perubahan di sini selama bertahun-tahun. Kami akan melihat siapa yang lebih baik, kemudian kami buat pilihan.

“Kami tidak melihat pada kaum, tetapi kami memerlukan orang muda yang boleh terus membuat perubahan di sini.”

Seorang lagi penduduk Shammadi Mat Kamis, 47, berkata ahli Parlimen mereka mesti membantu peniaga dan keluarga miskin bandar di kawasan itu.

“Kita sering dengar ramai yang berdepan isu kebajikan, jadi bila ada masalah kita nak jumpa ahli Parlimen kita di sini.

“Kos sara hidup tinggi dan gaji minimum hanya RM1,500. Semasa pandemik Covid-19 ramai yang kehilangan pekerjaan.”

Mengenai 10 calon yang bertanding di Batu, pekerja hotel itu berkata keadaan adalah rumit dengan begitu ramai orang bertanding.

“Ia mengelirukan kerana terdapat begitu banyak daripada mereka.

“Tetapi, kita telah banyak melihat Prabakaran turun padang. Jika ada isu, dia ada di sini. Apa sahaja yang dia boleh lakukan, dia akan membantu. Tetapi, kita akan lihat.”

Shammadi Mat Kamis mahu wakil rakyat tumpukan isu lesen peniaga di kawasan ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 13 November, 2022.

Marcus Kumar, 40, berkata, sesiapa sahaja bebas bertanding di Batu tetapi mereka mesti mempunyai rekod prestasi yang terbukti.

“Kami telah melihat Prabakaran dan Tian Chua di lapangan tetapi tidak yang lain.

“Kami hanya mendengar Siti dan Azhar akan bertanding tetapi tidak tahu mengenai calon yang lain.”

Marcus yang bekerja dalam industri perbankan percaya kebanjiran calon akan memecahkan undi di Batu.

“Kami akan sokong mereka yang telah membuktikan diri mereka di sini. Mereka yang telah bekerja untuk rakyat di sini.”

Noorhazli Mat Kamis, 43 yang bekerja sebagai chef mahu ahli Parlimennya menjalankan program kebajikan kepada golongan memerlukan di kawasan itu.

“Mungkin orang itu boleh menubuhkan pusat di mana mereka menyediakan bantuan makanan mingguan untuk rakyat.

“Sekiranya orang itu mahu menjadi calon terbaik di sini, mereka juga harus membuat tinjauan tentang berapa ramai orang yang memerlukan bantuan dan orang sakit yang memerlukan bantuan.”

Mengenai calon, katanya beliau hanya melihat Tian Chua dan Prabakaran turun padang di kawasan itu.

“Bila berlaku kebakaran Prabakaran datang, ketika orang sakit Tian Chua datang membantu berbanding pihak lain yang tidak ambil peduli di sini.

“Tian Chua juga telah datang ke sini sebelum pilihan raya. Kami rasa parti lain berada di sini untuk memecahkan undi. Saya juga hairan, apa yang istimewa tentang Batu?”

Peniaga pisang goreng yang mahu dikenali sebagai Ramli, 65, berkata, apa yang diperlukan peniaga adalah lesen untuk berniaga di kawasan itu.

“Ada antara peniaga di sini tiada lesen, jadi kalau nak mohon pinjaman kecil pun tak boleh.

“Apa yang kita mahu lihat ialah peniaga mendapat lesen, supaya mereka boleh meneruskan perniagaan mereka kerana ia adalah satu-satunya pendapatan mereka.”

Mengenai calon, Ramli berkata Tian Chua telah melakukan banyak perkara untuk rakyat di kawasan itu.

“Ini kerana dia (Tian Chua) turun padang dan berjumpa peniaga secara berdepan. Selain itu kita nampak Prabakaran hanya pergi jumpa ketua persatuan (peniaga).

“Prabakaran hanya datang ke sini selepas dia menang (PRU14), tetapi ahli parlimen yang paling banyak datang ke sini ialah Tian Chua. Dia mendapat sokongan saya.”– 13 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen