DONALD Trump dijangka mengumumkan untuk bertanding jawatan presiden bagi 2024 pada minggu depan, dalam usahanya kembali menerajui White House, kata pegawainya Jason Miller semalam.
Bekas presiden yang bakal mencecah usia 78 tahun pada pilihan raya akan datang membayangkan bertanding semula ketika berkempen untuk calon Republikan menjelang pilihan raya pertengahan penggal minggu ini dan turut berkata akan membuat satu pengumuman besar pada Selasa depan.
“Trump akan mengumumkan pada Selasa beliau akan bertanding untuk jawatan presiden.
“Ia akan menjadi pengumuman yang sangat profesional dan jarang dilakukannya,” kata Miller kepada bekas pegawai khas Trump, Steve Bannon dalam program podcast popularnya, “War Room”.
Miller berkata Trump turut memberitahu tidak perlu ada persoalan kerana beliau sudah mengesahkan untuk bertanding.
Pengumuman dibuat Trump di Florida selepas kecewa dengan beberapa calon yang disokongnya pada pilihan raya pertengahan penggal.
“Gelombang merah” Republikan yang diharapkan, gagal menjadi kenyataan dan parti itu mencapai kemenangan yang jauh lebih kecil daripada diramalkan.
Setakat ini, parti itu memperoleh 211 kerusi dan kelihatan bersedia untuk mendapat majoriti tipis bagi keseluruhan 435 kerusi Dewan Rakyat.
Merujuk kepada prestasi parti itu pada pilihan raya pertengahan penggal yang agak mengecewakan, The Wall Street Journal, Khamis lalu menerusi laporannya muka depannya menulis “Trump punca Republikan kalah”.
Tabloid itu dalam laporannya itu turut menggambarkan Trump berdepan kejatuhan yang besar. – AFP, 12 November, 2022.
Komen