Wanita bunuh rakan hamil, curi bayi dalam kandungan dihukum mati


SEORANG wanita di Texas berusia 29 tahun dijatuhi hukuman mati kerana membunuh rakannya yang hamil pada Oktober 2020 untuk mengeluarkan dan mencuri janin dalam kandungan.

Taylor Parker dijatuhi hukuman pada Rabu di Texas, selepas beberapa minggu perbicaraan yang bermula pada September, menurut dokumen mahkamah.

Selama berbulan-bulan Parker memberitahu teman lelakinya dan ahli keluarga yang beliau sedang hamil. 

Beliau turut menyiarkan mengenai kehamilannya di media sosial dan membeli perut silikon palsu.

Bagaimanapun, ia semua satu pembohongan kerana beliau sebenarnya sudah menjalani histerektomi dan tidak boleh mempunyai anak.

Pada 9 Oktober 2020, Parker ke rumah Reagan Simmons-Hancock, seorang rakan berusia 21 tahun yang sarat mengandung dan menikamnya lebih 100 kali.

Selepas memotong perut untuk mengambil bayinya, Parker meninggalkan anak perempuan mangsa yang berusia 3 tahun tidur di bilik lain.

Parker ditangkap tidak lama selepas itu semasa memandu keretanya kira-kira 15km dari lokasi pembunuhan itu. Bayi yang baru lahir berada di pangkuannya dan memberitahu pihak berkuasa yang beliau baru sahaja melahirkan anak. Bayi itu dimasukkan ke hospital tetapi meninggal dunia. 

Parker dibicarakan di bandar kecil New Boston, timur Dallas.

Beberapa minggu sebelum pembunuhan itu, Parker mula mencari wanita hamil di kedai dan wad bersalin, menurut keterangan polis pada perbicaraan itu.

Sejurus sebelum kejadian, beliau menonton banyak video bersalin dan pembedahan Caesarean. – AFP, 12 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen