Korea Selatan beri amaran kemerosotan ekonomi bulan ke-6 berturut-turut


Korea Selatan menyaksikan kebimbangan berterusan terhadap kelembapan ekonomi berikutan eksport yang goyah dan inflasi yang tinggi disebabkan oleh faktor luaran yang turut menjejaskan sentimen ekonomi. – Gambar EPA, 12 November, 2022.

LAPORAN bulanan ekonomi Korea Selatan memberi amaran tentang kemerosotan ekonomi untuk bulan keenam berturut-turut dengan kadar inflasi yang tinggi dan eksport yang lembap, lapor Xinhua memetik Kementerian Ekonomi dan Kewangan pada Jumaat.

Laporan kementerian yang dipanggil Buku Hijau, menyaksikan kebimbangan berterusan terhadap kelembapan ekonomi berikutan eksport yang goyah dan inflasi yang tinggi disebabkan oleh faktor luaran yang turut menjejaskan sentimen ekonomi.

Bagaimanapun, laporan itu mendedahkan penambahbaikan dalam pekerjaan dan industri perkhidmatan secara bersemuka berjaya bertahan.

Harga pengguna negara melonjak sebanyak 5.7% pada Oktober berbanding tahun sebelumnya, selepas meningkat sebanyak 5.6% pada bulan sebelumnya.

Eksport merosot sebanyak 5.7% sepanjang tahun kepada AS$52.48 bilion pada Oktober, menandakan kejatuhan pertama dalam tempoh 24 bulan.

Sentimen dalam kalangan pengguna berhubung situasi ekonomi susut 2.6 mata daripada bulan sebelumnya kepada 88.8 pada Oktober.

Bilangan mereka yang memiliki pekerjaan berjumlah 28,418,000 pada Oktober, meningkat 677,000 daripada tahun sebelumnya.

Kadar pekerjaan bagi mereka yang berumur 15 tahun ke atas meningkat 1.3% kepada 62.7% bulan lepas.

Perbelanjaan kad kredit meningkat 10.1% pada Oktober berbanding bulan yang sama tahun lalu selepas masing-masing meningkat kepada 18.4% pada Ogos dan 12.0% pada September. – Bernama, 12 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen