Lelaki turunkan bendera PH ejen pemantau parti, kata polis


Menurut polis, pemasangan bendera itu menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara jadi ia perlu diturunkan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 11 November, 2022.

POLIS hari ini mengesahkan lelaki yang menurunkan bendera parti Pakatan Harapan (PH) di hadapan Muzium Negara dalam sebuah video tular di media sosial adalah ejen pemantau PH untuk Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketua Polis Daerah Brickfields, Amihizam Abdul Shukor berkata, tindakan lelaki itu berdasarkan arahan Ketua Pasukan Penguatkuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) bersama wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM) PP-KPR Parlimen Lembah Pantai.

“Arahan itu dikeluarkan selepas perbincangan dengan wakil calon Parlimen Lembah Pantai kerana pemasangan bendera itu menutup pagar bahagian hadapan Muzium Negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

“Polis menasihatkan orang ramai supaya tidak menularkan sebarang video atau maklumat tanpa menyemak kesahihannya terlebih dahulu kerana tindakan tidak bertanggungjawab itu boleh menggugat ketenteraman awam,” katanya.

Amihizam berkata, orang ramai juga diingatkan supaya tidak melakukan sebarang perbuatan yang bercanggah dengan undang-undang dan peraturan bagi memelihara keamanan sepanjang berkempen.

Semalam, tular satu video berdurasi 34 saat memaparkan seorang lelaki menurunkan bendera PH di hadapan Muzium Negara. Tindakan lelaki itu dirakam seorang individu yang selepas itu memuat naik ke media sosial tanpa bertanyakan tujuan lelaki itu berbuat demikian. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen