BEBERAPA kawasan di daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Seberang Perai Selatan (SPS), Pulau Pinang mengalami banjir kilat hari ini selepas hujan lebat sejak jam 5 petang.
Kawasan di sekitar SPT yang terjejas akibat banjir kilat adalah Alma, Bukit Mertajam, Machang Bubok, Desa Damai dan Taman Impian manakala di SPS pula Ladang Valdor, Taman Pekaka serta Jawi.
Ketua Polis Daerah SPT Tan Cheng San berkata sehingga jam 9 malam ini, satu pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) True Light, Perkampungan Juru di sini bagi menempatkan mangsa banjir.
“Ketika ini pihak berkuasa terbabit sedang memindahkan mangsa banjir ke PPS itu dan jumlah sebenar mereka yang dipindahkan masih belum dapat diketahui,” katanya ketika dihubungi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Saadon Mokhtar ketika dihubungi berkata pihaknya setakat ini menerima aduan berhubung banjit kilat di dua daerah itu.
“Sehingga jam 8.30 malam ini banjir kilat masih lagi melanda kawasan terbabit dan bomba mengambil tindakan segera membuat pemantauan di kawasan yang dilanda banjit kilat bagi memastikan paras air tidak berbahaya. Kami juga sentiasa dalam keadaan bersiap sedia jika keadaan semakin teruk,” katanya.
Dalam pada itu, pengerusi jawatankuasa alam sekitar dan kebajikan Pulau Pinang Phee Boon Poh berkata, berdasarkan maklumat yang diterimanya, sehingga jam 8.30 malam ini sekurang-kurangnya 23 kawasan terutama taman perumahan sekitar SPT dilanda banjir kilat.
Menurutnya kawasan yang terjejas antaranya Taman Tenang Berapit, Taman Seri Janggus Machang Bubok, Desa Damai, Kampung Baru Alma, Taman Impian, Taman Sukun, Taman Mangga, Taman Sentul Kampung Dock dan Taman Sejahtera.
“Kerajaan negeri bersama pihak berkuasa sedang memantau situasi banjit kilat dan sekiranya hujan masih lebat sehingga jam 9 malam, tindakan susulan akan diambil segera kerana bimbang banjir menjadi semakin teruk,” katanya.
JPS, dalam kenyataan hari ini memaklumkan kawasan yang mungkin terjejas di Pulau Pinang adalah di kawasan Seberang Perai Utara, SPT dan SPS. – Bernama, 11 November, 2022.
Komen