Parti tidak sokong usaha demokrasi, hapus rasuah akan didedahkan, kata Giat


Kamles Kumar

Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel berkata Giat memberikan tempoh dua minggu kepada semua parti politik untuk menjawab memorandum itu secara rasmi sebelum mengadakan sidang akhbar bagi mendedahkan parti mana yang tidak bersetuju atau sebaliknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018.

SEBELUM Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), rakyat Malaysia akan tahu parti politik mana yang benar-benar komited untuk membuat pembaharuan dan menghapuskan rasuah, dan yang mana sekadar beretorik.

Sekumpulan badan hak asasi manusia dan anti-rasuah, serta badan pemikir berfikir akan mengemukakan memorandum dengan draf tuntutan kepada semua parti politik mulai minggu ini.

Mana-mana parti politik yang menerima atau menolak tuntutan itu akan didedahkan, kata ahli kumpulan itu memberitahu The Malaysian Insight.

Tuntutan itu termasuk janji untuk menjadikan penguatkuasaan undang-undang bebas, menghapuskan rasuah, memastikan kebebasan bersuara dan para pemimpin mengisytiharkan aset secara terbuka, jika mereka mengambil alih kuasa sama ada di peringkat negeri atau persekutuan.

Kumpulan itu, Governance, Integrity, Accountability and Transparency (Giat) merupakan gabungan daripada enam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Ia adalah Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), Projek Sinar, Transparency International-Malaysia, Friends of Kota Damansara, MyPJ dan Persatuan Perlindungan Hak Asasi Manusia (Proham).

Menurut Pengarah Eksekutif C4 Cynthia Gabriel, kumpulan itu ingin bertemu dengan semua parti politik sama ada ia daripada Barisan Nasional (BN), Pakatan Harapan (PH) atau Gagasan Sejahtera Rakyat.

“Kami akan pergi ke semua parti politik bermula esok dengan Bersatu,” katanya kepada The Malaysian Insight ketika dihubungi.

Kumpulan itu akan bertemu dengan wakil Bersatu Dr Rais Hussin dan Wan Saiful Wan Jan untuk menyerahkan memorandum itu. Besatu adalah sebahagian daripada gabungan empat parti PH hari ini.

Ivy Josiah daripada Proham berkata jemputan dihantar kepada semua parti politik termasuk daripada BN dan PAS tetapi hanya Bersatu terlebih dahulu memberi respons.

Ivy Josiah daripada Proham mengatakan Giat tidak mempunyai kuasa memaksa parti politik bersetuju dengan senarai tuntutan mereka tetapi akan menamakan pihak yang menerima atau menolaknya. – Gambar fail The Malaysian Insight, 5 Mac, 2018.

“Kami cuba mendapatkan parti-parti politik untuk melihat apakah mereka komited untuk melakukan pembaharuan institusi.

“Kami tidak mempunyai kuasa memaksa parti politik tetapi kami akan menamakan parti politik yang bersetuju atau tidak bersetuju dengan kami,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Gabriel berkata mereka juga berharap dapat bertemu dengan anggota komponen parti pemerintah BN seperti Umno.

“Gaya pentadbiran Umno tidak memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia. Kami berharap Umno pula yang akan memberi respons selepas ini,” katanya.

Beliau menambah Giat akan memberikan semua parti politik tempoh dua minggu untuk menjawab memorandum itu secara rasmi sebelum mengadakan sidang akhbar bagi mendedahkan parti mana yang tidak bersetuju atau sebaliknya.

Aira Azira daripada Ideas mengatakan hasrat Giat adalah untuk memastikan para ahli politik bertanggungjawab bagi setiap tindakan mereka.

“Kami juga akan memberi publisiti apabila parti datang dan menemui kami, dan ini diharapkan akan menggalakkan yang lain juga.”

Lima perkara yang diharapkan Giat akan diberi komitmen oleh semua parti sebelum PRU14 adalah seperti berikut:

1) Meluluskan undang-undang yang akan menegaskan kebebasan institusi, yang paling penting ialah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

2) Menggubal undang-undang Kebebasan Maklumat kebangsaan, mengkaji Akta Rahsia Rasmi 1972 dan mengamalkan prinsip data terbuka.

3) Undang-undang menetapkan semua anggota Kabinet, ahli Parlimen, pegawai dilantik dan pegawai kanan awam mengisytiharkan aset mereka.

4) Memperbaiki demokrasi penyertaan dalam semua peringkat kerajaan, termasuk proses belanjawan dan mengadakan pemilihan majlis tempatan.

5) Menetapkan undang-undang yang semua parti politik menyatakan secara terbuka bentuk pendapatan dan perbelanjaan. – 5 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen


  • Perkara yang diharapkan untuk diubah oleh GIAT sendiri pun sudah nampak berat sebelahnya. Motif munculnya pemikiran sebegini sekadar salah satu jalan meraih sokongan tehadap parti pembangkang dan mengecam parti pemerintah yakni BN.

    Dimuat naik 6 tahun yang lalu oleh Amera amani · Ulasan