PIHAK mana yang akan menguasai Kongres Amerika Syarikat masih belum diputuskan setakat lewat malam Khamis, selepas dua hari pilihan raya separuh penggal 2022 berlangsung, lapor Xinhua.
Pemilihan Senat di negeri Arizona dan Nevada masih belum diputuskan sementara Georgia perlu melalui pusingan akhir bulan depan.
Dengan tiga pemilihan masih belum ditentukan, CNN mengunjurkan Republikan mempunyai sekurang-kurangnya 49 kerusi dalam keanggotaan Senat 100 ahli bagi tempoh dua tahun akan datang manakala Demokrat akan mengawal sekurang-kurangnya 48 kerusi.
Sementara itu, Republikan diunjur memenangi 211 kerusi daripada 435 kerusi di Dewan Perwakilan berbanding Demokrat sebanyak 197 kerusi, manakala keputusan bagi kerusi lain masih tidak dapat dijangka, menurut CNN.
Kongres baharu akan bersidang buat kali pertama pada 3 Januari 2023.
Pada pilihan raya separuh penggal tahun ini, 36 daripada 50 negeri dan tiga wilayah AS memilih gabenornya.
Pilihan raya negeri dan tempatan lain turut dipertandingkan. – Bernama, 11 November, 2022.
Komen