Pegawai polis disiasat kes rempuhan Seoul ditemukan mati 


Tragedi rempuhan Halloween yang menyebabkan lebih 150 orang terkorban di Itaewon, Seoul.– Gambar EPA, 11 November, 2022.

SEORANG pegawai polis Korea Selatan yang sedang disiasat berkaitan dengan rempuhan Halloween yang membunuh lebih 150 orang di Seoul ditemui mati pada Jumaat, kata polis.

Lelaki berusia 55 tahun itu, hanya dikenali dengan nama keluarga Jeong, ditemui mati di rumahnya di Seoul, kata seorang pegawai di Agensi Polis Kebangsaan kepada AFP.

Jeong, seorang pegawai perisikan, telah bekerja untuk balai polis yang menyelia daerah Itaewon, sebuah kawasan hiburan di ibu negara Korea Selatan lokasi rempuhan itu berlaku.

Pejabatnya—Balai Polis Yongsan—merupakan salah satu sasaran penyiasatan besar terhadap tragedi itu, termasuk usaha kawalan orang ramai yang gagal.

Penyiasat sebelum ini menyerbu balai polis berkenaan.

Transkrip panggilan kecemasan, dikeluarkan awal bulan ini oleh polis, menunjukkan talian kecemasan mereka menerima 11 laporan mengenai kesesakan hampir empat jam sebelum tragedi itu berlaku, namun dilihat gagal mengambil tindakan.

156 orang yang maut dalam rempuhan itu kebanyakannya adalah wanita muda, termasuk segelintir remaja dan sekumpulan besar warga asing.

Sekurang-kurangnya 100,000 orang berkumpul ke kawasan itu untuk meraikan Halloween pertama selepas wabak, tetapi pihak berkuasa tempatan mahupun polis tidak membuat perancangan bagi mengawal kumpulan yang ramai itu. 

Segelintir pegawai tinggi termasuk ketua polis, Datuk Bandar Seoul dan menteri dalam negeri mengeluarkan permohonan maaf secara terbuka minggu lalu, mengakui mereka gagal mencegah bencana maut itu.

Jeong dituduh mengarahkan laporan risikan dimusnah, yang memberi amaran tentang kemungkinan kemalangan semasa Halloween di Itaewon, lapor agensi berita Yonhap. – AFP, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen