POLIS sedang menyiasat kes ugutan yang diterima calon Barisan Nasional (BN) kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Kinta Mazlan Abd Rahman daripada pihak tidak dikenali dengan memintanya membuat bayaran RM300,000.
Ketua Polis Perak Mohd Yusri Hassan Basri berkata pihaknya membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 385 Kanun Keseksaan selepas menerima laporan daripada Mazlan, 50.
“Beliau (Mazlan) menerima ugutan melalui nombor telefon yang tidak dikenali ketika sedang berkempen (Pilihan Raya Umum ke-15).
“Mangsa (Mazlan) diugut supaya membayar RM300,000 dan jika gagal berbuat sedemikian, suspek akan menyebarkan surat layang, risalah dan mesej tular menerusi media sosial bagi memburukkan mangsa dengan niat menjatuhkan reputasi mangsa,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Mazlan berkata ugutan itu diterima melalui aplikasi WhatsApp kira-kira 6 petang Selasa lepas dan 11.34 pagi semalam sebelum membuat laporan di Balai Polis Tambun, tengah hari semalam.
Menurut Mazlan, beliau terkilan kerana tidak pernah memburukkan pihak lain sepanjang tempoh berkempen dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan.
“Sepanjang kempen, saya tidak menyentuh peribadi orang walaupun calon yang bertanding dengan saya malah saya baru berpelukan dengan calon parti lawan ketika bertembung semasa kempen.
“Konsep saya ialah berkawan dengan sesiapa… kejadian ini tidak akan membuatkan saya menarik diri daripada Pilihan Raya Umum ke-15 dan akan meneruskan perjuangan untuk rakyat DUN Hulu Kinta namun saya tiada wang kalau hendak saya membuat bayaran itu,” katanya ketika ditemui di Bandar Baru Tambun di Ipoh, hari ini.
Mazlan berkata kandungan mesej yang diterima dan nombor telefon penghantar telah diserah kepada pihak polis dan berharap semua pihak berkempen dengan cara baik.
Beliau berkata ugutan itu juga sama sekali tidak mematahkan semangatnya yang telah melalui liku-liku dan fitnah sepanjang penglibatan dalam politik sejak 28 tahun lepas.
Mazlan berdepan pertandingan empat penjuru antara penyandang Muhamad Arafat Varisai Mahamad (PH-PKR), Puteri Holijah Muhamad Rali (PN-Bersatu) dan Murugiah Subramaniam (Bebas) di DUN Hulu Kinta yang mempunyai 74,292 pengundi. – Bernama, 11 November, 2022.
Komen