Rafizi dakwa tak takut disaman Tuan Ibrahim


Noel Achariam

RAFIZI Ramli mendakwa beliau tidak takut disaman oleh Tuan Ibrahim Tuan Man atas dakwaannya yang menteri alam sekitar itu meluluskan projek tebatan banjir RM2 bilion selepas Dewan Rakyat dibubarkan.

Timbalan Presiden PKR itu berkata beliau sudah menerima surat tuntutan daripada pihak Tuan Ibrahim susulan pendedahannya yang Kementerian Alam Sekitar dan Air (Kasa) telah melantik Mangkubumi Sdn Bhd secara rundingan terus bagi projek tebatan banjir Sungai Langat Fasa 2.

“Saya tidak mahu surat tuntutan yang dihantar semalam menjadi alat kempen semata-mata dalam tempoh berbaki kempen PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15), tetapi selepas itu ia tidak berakhir dengan saman di mahkamah.

“Saya mahu ke mahkamah kerana saya ada bukti yang kukuh mengenai pendedahan saya itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Rafizi dilaporkan mendakwa Tuan Ibrahim, yang juga timbalan presiden PAS, sedang dalam proses meluluskan projek melalui rundingan terus bagi rancangan tebatan banjir Sungai Langat 2 itu.

Semalam, Tuan Ibrahim telah menghantar surat tuntutan dan memberi tempoh tujuh hari kepada Rafizi untuk memohon maaf dan mencadangkan pampasan yang sesuai kepadanya.

Surat yang dihantar melalui firma guaman Yusfarizal Aziz & Zaid itu turut menyatakan Rafizi perlu memohon maaf secara terbuka melalui media.

Rafizi berkata sejak pendedahannya itu, beliau mendakwa Tuan Ibrahim cuba memberi gambaran yang ianya rekaan dan palsu.

“Saya kecewa dengan reaksi Tuan Ibrahim dan kepimpinan PAS yang cuba memberi gambaran mereka tidak tahu apa-apa.

“Malah, kempen PAS telah bertumpu sepenuhnya kepada menyerang peribadi saya untuk mengalihkan perhatian bahawa logiknya Tuan Ibrahim TAHU memang projek berjumlah RM2 bilion ini telah pun diluluskan oleh kerajaan untuk tindakan beliau sebagai menteri Kasa,” katanya.

Rafizi juga menekankan yang projek sebesar ini telah dipercepatkan keputusannya supaya kelulusan diberikan sebelum PRU15.

“Buat masa ini, saya berharap Tuan Ibrahim tidak berselindung di sebalik satu surat tuntutan untuk mencuci tangan dari tanggungjawab beliau mengenai projek ini.”

Rafizi berharap Tuan Ibrahim dapat bersabar selepas mencabarnya membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

“Sudah tentu laporan SPRM akan dibuat sekiranya Pakatan Harapan membentuk kerajaan persekutuan dalam masa terdekat.” – 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen