Presiden Korea Selatan hadiri sidang kemuncak Asean, G-20


Presiden Korea Selatan Yoon Suk Yeol dijadual menghadiri sidang kemuncak Korea Selatan-Asean, sidang kemuncak Asean Tambah Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur selama tiga hari. – Gambar EPA, 11 November, 2022.

PRESIDEN Korea Selatan Yoon Suk Yeol berlepas ke Kemboja pada Jumaat untuk pusingan pertama jelajah dua negara yang merangkumi kehadirannya dalam pelbagai sidang kemuncak yang melibatkan Asean dan Kumpulan 20 (G-20), lapor Agensi berita Yonhap.

Di Phnom Penh, Yoon dijadual menghadiri sidang kemuncak Korea Selatan-Asean, sidang kemuncak Asean Tambah Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur selama tiga hari, serta pelbagai mesyuarat dua hala dan pelbagai hala yang berlangsung di luar sidang kemuncak.

Terdahulu, Yoon memberitahu pemberita beliau akan mengadakan mesyuarat tiga hala dengan Presiden Amerika Syarikat Joe Biden dan Perdana Menteri Jepun Fumio Kishida, pertemuan kedua sejak sidang kemuncak Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Sepanyol pada Jun.

Seorang pegawai presiden berkata pertemuan dua hala dengan Biden juga telah diatur namun belum ada keputusan dicapai mengenai pertemuannya dengan Kishida.

Sejurus sebelum berlepas ke Kemboja, Yoon dalam catatan di Facebook berjanji untuk “melakukan yang terbaik bagi memenuhi jangkaan rakyat dan menghasilkan pencapaian praktikal untuk menyokong kepentingan negara dan pertumbuhan ekonomi.”

“Saya akan melakukan segala usaha untuk mencari jalan untuk berjasama dalam industri nilai tambah tinggi dan sektor digital,” kata Yoon sambil menyatakan Asean mempunyai kaitan rapat dengan ekonomi Korea Selatan iaitu rakan dagang kedua terbesar negara itu.

Lawatan pertama Yoon ke Asia Tenggara sebagai presiden juga menarik perhatian kerana ia menyediakan pentas untuk pertemuan pertamanya dengan Presiden China Xi Jinping, mungkin semasa sidang kemuncak G-20, yang akan berlangsung di Bali, Indonesia pada 15 dan 16 Nov.

Seorang pegawai presiden berkata kedua-dua pemimpin itu dijangka bertemu semasa acara berlangsung dan setakat ini belum ada pertemuan ditetapkan.

Asean yang terdiri daripada Brunei Darussalam, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand dan Vietnam, ialah blok ekonomi kelima terbesar di dunia dan rakan dagang kedua terbesar Korea Selatan.

Rantau ini penting secara strategik kerana ia merupakan hab pengeluaran global, kaya dengan mineral dan bahan mentah kritikal selain mempunyai pasaran pengguna yang besar, menurut pegawai.

Presiden dan wanita pertama dijadual pulang ke Seoul awal Rabu. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen