POLIS Hong Kong menahan lima individu pada Jumaat susulan kemalangan di konsert oleh kumpulan penyanyi paling popular di bandar itu Mirror yang menyebabkan seorang penari berisiko lumpuh kekal, menurut media tempatan dan sumber polis.
Konsert Mirror pada 28 Julai dipendekkan selepas skrin LED besar yang digantung di atas pentas jatuh ke atas sekumpulan penari, terkena seorang daripadanya dan cedera di leher yang menyebabkan beliau dalam keadaan kritikal.
Lima individu ditahan awal Jumaat kerana disyaki melakukan penipuan dan pertuduhan menyebabkan objek jatuh dari ketinggian, kata sumber polis kepada AFP.
Rakaman grafik kemalangan yang dirakam oleh peminat mengejutkan Hong Kong dan menimbulkan persoalan sama ada piawaian keselamatan dikuatkuasakan dengan betul, serta perbincangan lebih meluas mengenai keadaan tempat kerja dalam industri hiburan.
Pasukan petugas kerajaan yang ditubuhkan untuk menyiasat insiden itu berkata pada Ogos yang kabel substandard digunakan dan berat skrin tidak dilaporkan—walaupun pada masa itu ia tidak menyatakan siapa yang harus bertanggungjawab.
Lima yang ditahan bekerja di bahagian kontraktor pentas utama Engineering Impact dan subkontraktor Hip Hing Loong Stage Engineering Company, lapor media tempatan.
Penari Mo Li, yang baru berusia 28 tahun, mengalami kecederaan tulang belakang yang teruk dan berada dalam keadaan kritikal selama lebih sebulan, dengan doktor mengatakan peluang untuk pulih sepenuhnya adalah tipis.
Penari kedua tidak begitu parah.
Bulan lalu, penganjur konsert Music Nation dan MakerVille mempertahankan pilihan krew produksi mereka dan menolak tuduhan menjimatkan kos.
“Kami memilih untuk mengupah pasukan yang dianggap terkemuka dalam industri… Kos bukanlah pertimbangan utama kami,” kata mereka dalam satu kenyataan.
Hong Kong secara amnya mempunyai piawaian keselamatan yang baik tetapi rentetan kemalangan maut di tempat kerja baru-baru ini meningkatkan kebimbangan bahawa usaha tidak mencukupi bagi melindungi pekerja atau menghukum majikan apabila kemalangan yang boleh dielakkan berlaku.
Pada September, tiga lelaki terbunuh dan enam lagi cedera selepas kren tumbang di tapak pembinaan. – AFP, 11 November, 2022.
Komen