Poster PRU: Kontroversi status ketua parti dan ‘poster boy’


G Manimaran

PEMASANGAN poster dan iklan promosi calon merupakan komponen utama ketika kempen pilihan raya. Kita tidak boleh lari, dan ia selalu dianggap sebagai satu tarikan penting bagi memikat pengundi. 

Kekuatan pendekatan tradisi ini tidak dapat dinafikan meskipun saluran media sosial menjadi pilihan utama ramai terutama generasi muda pada alaf baharu.

Mengikut undang-undang pilihan raya semasa negara hanya poster calon yang bertanding dibenarkan dipamer dan dinaikkan sepanjang tempoh berkempen.

Peruntukan ini hanya membolehkan poster mereka dipasang di kerusi seseorang itu bertanding. 

Lebih daripada itu tiada peruntukan yang jelas dan menyeluruh mengenai aspek tersebut sehingga membawa kepada polemik dan kontroversi berterusan sehingga ke hari ini.

Untuk memasang poster dan bahan-bahan kempen sepanjang tempoh berkempen setiap calon dikehendaki mendapatkan kebenaran atau permit daripada pihak berkuasa tempatan.

Mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1958, “nama atau simbol seorang calon sahaja dalam mana-mana iklan, surat sebaran, pelekat atau poster itu berserta dengan salinan sesuatu tanda pangkah atau tanda lain yang menunjukkan persetujuan terhadap mana-mana nama atau simbol itu” dibolehkan.

Menurut Perkara (4) akta itu, seseorang calon atau ejen pilihan rayanya boleh, semasa tempoh berkempen, mempamerkan, memberikan atau mengedarkan bahan kempen pilihan raya kepada orang ramai di dalam bahagian pilihan raya yang baginya calon itu bertanding tetapi hanya jika calon —

(a) memegang suatu permit untuk berbuat demikian yang dikeluarkan kepadanya oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri, tertakluk kepada apa-apa terma dan syarat yang ditentukan oleh Pegawai Pilihan Raya Negeri itu; dan

b) telah membayar kepada Pegawai Pilihan Raya Negeri deposit sebanyak RM5,000 untuk pemilihan ke Dewan Rakyat dan RM3,000 dalam hal suatu pemilihan ke Dewan Undangan Negeri.

Dalam pada itu, Perkara (6) pula menyebut tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan, bahan kempen pilihan raya termasuklah apa-apa iklan, risalah, brosur, bendera, panji-panji, sepanduk, tetunggul, poster, pelekat, surat sebaran, label atau apa-apa bentuk papan iklan sementara.

Adakah individu lain selain calon boleh dibenarkan? Perkara itu menjadi polemik sejak beberapa pilihan raya umum. 

Diketahui semua, ia menjadi satu isu ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) apabila calon parti utama mempamerkan keadaan dia bersalam dengan pemimpin negara luar.

Wajah itu pemimpin parti mereka, tetapi pemimpin luar. Ia antara contoh isu yang menjadi perhatian.

Terdapat dua keadaan wajah ketua parti dipamerkan. Pertama, calon dan ketua parti calon yang bertanding dalam satu poster.

Kedua, poster atau iklan promo yang hanya membabitkan ketua parti atau secara solo.

Ketika ini perkara berkaitan belum diperuntukkan dengan jelas di bawah undang-undang, sehingga ia mencetuskan persoalan sama ada mana-mana pemimpin yang diangkat sebagai ‘poster boy’ atau calon jawatan perdana menteri boleh dipamerkan semasa tempoh berkempen, sama ada bersama calon atau secara berasingan. 

Dalam perkara ini, yang jelas mendapat perhatian adalah Ismail Sabri Yaakob, yang dinamakan oleh Umno pada awal tahun ini sebagai calon perdana menteri jika Barisan Nasional (BN) kembali berkuasa. 

Ini kali pertama dalam sejarah perjuangan BN-Umno, ketua parti tidak menjadi perdana menteri.

Keadaan menjadi lebih kompleks pada hari ini. Sebaliknya Ismail Sabri, yang juga naib presiden Umno, dilantik sebagai perdana menteri pada Ogos 2021, dan kini dinamakan sebagai ‘poster boy’. 

Ketetapan itu telah disahkan oleh bahagian-bahagian Umno yang mengadakan mesyuarat dua bulan lalu, tetapi status ketetapan itu menjadi kekal teka-teki.

Wujud spekulasi ia tidak akan menjadi kenyataan meskipun Ahmad Zahid Hamidi kekal dengan ketetapan parti.

Susulan kontroversi semasa PRU14, SPR mengeluarkan garis panduan mengenai perkara tersebut ketika itu bagi menjelaskan kepada kesemua parti yang bertanding.

SPR menetapkan hanya gambar calon, presiden dan timbalan presiden atau setarafnya daripada parti komponen BN, PKR dan PAS dibenarkan digunakan sebagai bahan kempen sepanjang PRU14. 

Di peringkat negeri pula, selain gambar presiden dan timbalan presiden, gambar ketua menteri, menteri besar, pengerusi badan perhubungan negeri, calon serta simbol parti politik hanya dibenarkan dalam bahan kempen. 

Menurut SPR ketika itu, pihaknya membuat penyelarasan semula terhadap dasar sedia ada dengan mewujudkan syarat-syarat tambahan berkaitan penggunaan bahan-bahan kempen pada PRU14 demi menjaga keharmonian, etika serta aktiviti kempen melibatkan parti bertanding.

Malah, SPR empat tahun lalu menegaskan tidak perlu mempertikaikan wajah Dr Mahathir Mohamad yang dipotong atau digunting oleh pihaknya sedangkan  pembangkang bersetuju menggunakan simbol PKR, untuk bertanding dalam PRU14. 

Anggota penguat kuasa SPR yang memotong poster memaparkan gambar Dr Mahathir dari papan iklan kempen kawasan Parlimen Ayer Itam.

SPR juga mengarahkan poster BN dengan gambar presiden China diturunkan oleh pasukan petugas di seluruh negara yang terdiri daripada parti politik, Polis Diraja Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan pegawai SPR. 

Komponen Pakatan Harapan (PH) yang masih belum didaftarkan ketika itu memutuskan untuk menggunakan logo PKR.

Kali ini PH menggunakan logo sendiri. Mengikut SPR, calon-calon yang bertanding bebas menggunakan gambar mereka dalam bahan kempen seperti poster dan gegantung di kawasan mereka bertanding.

Justeru itu, dalam keadaan ini sejauh mana jelasnya garis panduan mengenai status ketua parti, timbalannya dan calon perdana menteri dalam poster dan gegantung yang digunakan ketika kempen, terutama yang membabitkan BN.

Di kebanyakan kawasan yang ditinjau, keadaan itu sudah mula kelihatan. Poster dan papan-papan iklan hanya mempamerkan wajah Ismail Sabri berbanding Zahid selaku presiden Umno dan pengerusi BN.

Sementara perkara ini kembali timbul dan mendapat perhatian ketika PRU15, ketika tidak ada peruntukan yang jelas mengenainya, budi bicara SPR selaku badan tunggal pengurusan pilihan raya akan menjadi tempat rujukan.

Ia antara aspek yang masih kabur dalam landskap pilihan raya negara. Perlu ada garis pemisah mengenai perkara ini. Ia penting bagi menggariskan sempadan yang jelas apa yang boleh dan tidak boleh dilakukan dalam urusan berkempen.

Ini elemen baharu dalam kontroversi lama. Sudah pasti akan berterusan jika tidak ada penyelesaian konkrit. – 11 November, 2022.

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen