SEMBILAN orang maut ditembak sekumpulan lelaki bersenjata di sebuah bar di negeri Guanajuato, Mexico pada Rabu, dipercayai berkait persengketaan antara kartel dadah, kata pihak berkuasa tempatan.
Serangan pada jam 9 malam waktu tempatan di bandar Apaseo el Alto itu turut menyebabkan dua orang cedera.
Majlis perbandaran dalam satu kenyataan berkata mangsa sekumpulan lelaki bersenjata menaiki trak menyerbu dan melepaskan tembakan ke arah pengunjung bar Lexus, menyebabkan lima lelaki dan empat wanita terbunuh.
Beberapa jam sebelum serangan itu, sebanyak 18 kenderaan dibakar di kawasan sekitar Apaseo el Alto.
Guanajuato merupakan kawasan perindustrian yang sering menyaksikan pertembungan ganas antara kumpulan penjenayah Jalisco New Generation dan kartel dadah Santa Rosa de Lima.
Media tempatan melaporkan serangan dilakukan bagi membalas dendam atas penangkapan ketua Santa Rosa de Lima, Juan Rodolfo Yepez, pada Selasa.
Menurut angka rasmi kerajaan, lebih 2,100 pembunuhan direkodkan antara Januari hingga Ogos di Guanajuato yang mempunyai enam juta penduduk. – AFP, 11 November, 2022.
Komen