PRESIDEN Amerika Syarikat (AS) Joe Biden akan bertemu dengan rakan sejawatannya dari China Xi Jinping pada 14 November di luar sidang kemuncak G20, kata Rumah Putih pada Khamis
Ia akan menjadi pertemuan secara bersemuka pertama mereka sejak pemimpin AS itu menjadi presiden.
Kedua-dua mereka pernah bertemu sebelum Biden jadi presiden dan telah bercakap melalui telefon beberapa kali sepanjang 22 bulan lalu, namun pandemik Covid-19 dan keengganan Xi untuk melakukan perjalanan luar telah menghalang mereka daripada bertemu secara langsung.
“Mereka akan membincangkan usaha untuk mengekalkan dan memperdalam hubungan,” serta cara “mengurus persaingan secara bertanggungjawab dan bekerjasama di mana kepentingan kita sejajar,” kata jurucakap Rumah Putih Karine Jean-Pierre dalam satu kenyataan.
Pertemuan mereka semasa sidang kemuncak di Bali diadakan selepas Xi dianugerahkan sebagai Setiausaha Agung Parti Komunis China kali ketiga, bulan lepas.
Sementara itu, Biden mungkin berhadapan laluan yang lebih sukar untuk dua tahun akan datang selepas pilihan raya separuh penggal pada Selasa mungkin menyebabkan pembangkang Republikan mengambil alih kedua-dua dewan Kongres AS.
Amerika Syarikat dan China mempunyai hubungan pelaburan dan perdagangan yang besar tetapi juga saling bersaing pengaruh ketenteraan dan diplomatik, terutamanya di rantau Asia Pasifik.
Pada Rabu, Biden berkata beliau telah menjelaskan kepada Xi yang beliau “mencari persaingan, bukan konflik.”
Biden berkata mereka akan membincangkan isu Taiwan, tetapi menambah pendirian AS di pulau itu “tidak berubah sama sekali sejak awal.” – AFP, 11 November, 2022.
Komen