PM Thailand ketuai delegasi ke Sidang Kemuncak Asean


Mesej utama Thailand pada sidang kemuncak Asean ini adalah “Mengukuhkan Masa Kini – Bersatu Untuk Masa Depan – Menghormati Cara Asean”. – Gambar AFP, 11 November, 2022.

PERDANA Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta sidang kemuncak berkaitan di Phnom Penh dari Khamis hingga Ahad (10-13 November).

Pemangku jurucakap kerajaan Anucha Burapachaisri berkata Prayuth yang juga menteri pertahanan dijadual menghadiri 16 mesyuarat termasuk Asean bersama pemimpin dari Australia, Kanada, China, India, Jepun, Korea Selatan, Amerika Syarikat, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga dan Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Beliau berkata Prayuth akan bertemu wakil Perhimpunan Antara Parlimen Asean, Belia Asean dan Majlis Penasihat Perniagaan Asean.

Prayuth juga akan menghadiri Dialog Global Asean ke-2 bertema: “Pemulihan Inklusif Pasca Covid-19” yang akan dihadiri oleh pemimpin Asean, rakan dialog dan wakil peringkat tinggi organisasi antarabangsa.

“Pada sidang kemuncak itu, perdana menteri akan mengemukakan tiga bidang kerjasama iaitu keselamatan kesihatan awam, pemulihan ekonomi dan pembangunan digital di rantau ini,” katanya dalam kenyataan.

Sementara itu, Sekretariat Perdana Menteri berkata mesej utama Thailand pada sidang kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta sidang kemuncak berkaitan adalah “Mengukuhkan Masa Kini – Bersatu Untuk Masa Depan – Menghormati Cara Asean”.

“Keutamaan yang akan dikemukakan oleh Thailand pada sidang kemuncak itu antara lain adalah memperkukuh Komuniti Asean sebagai persediaan menghadapi cabaran bersama, cabaran ekonomi dan kesihatan awam; membina peluang untuk masa depan yang mampan dan keselamatan serantau dan menjaga keaman,” katanya.

Tema Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta sidang kemuncak berkaitan tahun ini ialah “Asean A.C.T.: Menangani Cabaran Bersama” yang mencerminkan usaha kolektif Asean dalam menangani pelbagai cabaran, pandemik Covid-19, ketidaktentuan geopolitik serta pergolakan antarabangsa dan serantau. – Bernama, 11 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen