Mungkin Wan Ahmad agak 'naif' mengenai perundangan Australia, kata Zahid 


Timbalan Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata Wan Ahmad telah menjelaskan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa dan juga kepadanya secara peribadi.– Gambar fail The Malaysian Insight, 4 Mac, 2018.

TIMBALAN Perdana Menteri Dr Ahmad Zahid Hamidi telah mempertahankan pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman (JSJ), Wan Ahmad Najmuddin Mohd, mengatakan kontroversi berhubung transaksi di Australia kerana beliau agak “naif”.

Zahid berkata telah menjadi amalan biasa, atau SOP, bagi pegawai polis dan anggota untuk membuat pengisytiharan harta setiap tahun, dan Ketua Polis Negara Tan Sri Mohamad Fuzi Harun membuat pengisytiharan harta kepada beliau (Zahid), sebelum beliau (Zahid) memaklumkan perkara itu kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Perdana Menteri Najib Razak.

Beliau berkata demikian semasa dirujuk mengenai satu artikel yang disiarkan akhbar asing baru-baru ini yang melaporkan bahawa polis Australia merampas sejumlah AUD$320,000 (RM971,728) dalam akaun bank milik Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman,Wan Ahmad Najmuddin Mohd, kerana disyaki hasil penggubahan wang haram.

“Perkara ini timbul sejak 2016, Wan Ahmad ada sebut sumber sebenar wang itu dengan penjualan rumah untuk biaya pendidikan anaknya di Australia, cuma undang-undang di negara itu jika ada transaksi lebih daripada 10,000 Aussie Dollar, ia harus mendapat kebenaran khusus.

“Jadi mungkin Wan Ahmad agak naif mengenai sistem perundangan di Australia itu,” katanya pada satu sidang media selepas menghadiri mesyuarat pengurusan Polis Diraja Malaysia di Mes pegawai Ibu pejabat Polis Kontinjen Sarawak di Kuching hari ini.

“Tapi dia (Wan Ahmad) telah menjelaskan mengenai perkara itu kepada pihak berkuasa dan juga secara peribadi kepada saya sendiri. Kita terima penjelasannya dengan niat yang amat baik,” tambahnya.– Bernama, 4 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen