Jumlah kanak-kanak kurang zat makanan meningkat di Syria


Dari April hingga September lebih 10,000 kanak-kanak di Syria kekurangan zat makanan berbanding 6,650 dalam tempoh enam bulan sebelumnya. – Gambar AFP, 10 November, 2022.

BILANGAN kanak-kanak kekurangan zat makanan di timur laut Syria, kawasan yang dilanda konflik lebih sedekad meningkat sebanyak 150%, kata kumpulan bantuan Save the Children hari ini.

“Setiap hari kami perlu berurusan dengan lebih ramai kanak-kanak kekurangan zat makanan berbanding hari sebelumnya.

“Masalah pemakanan mengancam nyawa kanak-kanak. Kemiskinan dan ketidakmampuan untuk membeli makanan adalah sebab utama peningkatan ini,” kata agensi bantuan itu.

Dari April hingga September agensi bantuan itu merekodkan lebih 10,000 kanak-kanak kekurangan zat makanan berbanding 6,650 dalam tempoh enam bulan sebelumnya.
 
Di samping konflik Syria dilanda krisis ekonomi terburuk sejak perang meletus pada 2011 apabila kerajaan menindas protes prodemokrasi secara kejam mengakibatkan hampir setengah juta orang terbunuh.

PBB menganggarkan 90% daripada 18 juta penduduk Syria hidup dalam kemiskinan dengan ekonomi dilanda konflik, kemarau dan wabak Covid serta kesan daripada kejatuhan kewangan di negara jiran Lubnan.

Keadaan nampaknya melampau di kawasan di luar kawalan kerajaan Damsyik.

“Walaupun purata pendapatan keluarga tidak meningkat, harga makanan melonjak hampir 800% antara 2019 dan 2021, dan terus meningkat pada 2022,” tambah badan amal itu.

Lintasan utama Al-Yarubiyah ke timur laut Syria dari Iraq ditutup pada 2020 selepas Rusia dan China membuat resolusi Majlis Keselamatan PBB yang membenarkannya untuk kekal terbuka, mengehadkan akses bantuan ke rantau itu.

Sejak itu bantuan ke kawasan yang dikawal oleh tentera Kurdish memerlukan kelulusan Damsyik, sekutu Moscow.

“Selepas hampir 12 tahun konflik di Syria, keadaan ekonomi yang semakin buruk menjadi pemacu utama walaupun konflik bersenjata berterusan di banyak bahagian negara,” kata Beat Rohr, ketua Save the Children di Syria. – AFP, 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen