3 cedera dalam rempuhan kereta di Israel, pelaku ditembak, kata polis 


Serangan rempuhan kereta kerap kali berlaku yang mensasarkan anggota pasukan keselamatan Israel. – Gambar EPA, 4 Mac, 2018.

WARGA Israel berketurunan Arab merempuh pegawai polis dan dua tentera pada Ahad di utara Israel sebelum cedera ditembak dalam kejadian yang disifatkan oleh pihak berkuasa sebagai “serangan pengganas”.

Pegawai polis sempadan dan dua tentera terbabit mengalami cedera ringan. Video yang dikongsikan dalam talian mengenai insiden yang berlaku di bandar Acre itu menunjukkan anggota pasukan keselamatan terbabit melambung ke udara ketika dirempuh. 

Pegawai polis terbabit dirempuh ketika berada berhampiran sebuah pasar, manakala dua lagi berada berhampiran stesen kereta api, kata polis.

“Polis mengesahkan insiden berkenaan sebagai serangan pengganas,” kata polis dalam satu kenyataan. 

Siasatan sedang dijalankan berhubung insiden itu dan tiada butiran lanjut diberikan termasuk mengenai identiti pemandu terbabit dan keadaannya. 

Warga Palestin dan Arab Israel sudah banyak kali melakukan serangan rempuhan kereta terhadap pasukan keselamatan Israel.

Bandar Acre yang terletak di pesisir pantai Mediterranean, mempunyai populasi Arab dan Yahudi Israel. – AFP, 4 Mac, 2018.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen