Perancis mulakan respons kecemasan tangani epidemik bronkiolitis


Menteri Kesihatan Perancis Francois Braun berkata pelan tindak balas kecemasan nasional digerakkan bagi bantu hospital tangani jangkitan bronkiolitis yang meningkat dalam kalangan kanak-kanak. – Gambar AFP, 10 November, 2022.

MENTERI Kesihatan Perancis Francois Braun menggerakkan pelan tindak balas kecemasan nasional untuk membantu hospital menangani jangkitan bronkiolitis yang melambung tinggi di kalangan kanak-kanak.

“Saya memutuskan pagi ini, sebagai tambahan kepada semua perkara lain yang telah dilakukan, untuk menggerakkan pelan ORSAN (pelan kecemasan di Perancis untuk mengendalikan peningkatan mendadak bilangan pesakit di hospital) bagi menangani wabak ini,” katanya kepada Senat Perancis.

Kini setiap wilayah akan mendapat sumber tambahan untuk mengurangkan tekanan dalam perkhidmatan pediatrik yang telah dibanjiri kemasukan pesakit.

Menurut Agensi Kesihatan Awam Perancis, negara itu belum pernah mencatat jumlah kemasukan ke hospital berkaitan bronkiolitis dan ketibaan pesakit yang begitu ramai di wad penjagaan kecemasan sejak lebih 10 tahun.

Daripada 6,891 kanak-kanak di bawah umur dua tahun yang dihantar ke wad jagaan kecemasan, 6,326 atau 92% berumur di bawah umur satu tahun dengan 2,337 atau 34% daripadanya dimasukkan ke wad, kata agensi itu.

Ia juga melaporkan kawasan utara paling teruk terjejas dengan wabak bronkiolitis.

Agensi itu berkata ia akan meneruskan pemantauan ke atas kes bronkiolitis dalam kalangan kanak-kanak di bawah umur dua tahun.

Bronkiolitis adalah jangkitan paru-paru yang biasa berlaku pada kanak-kanak kecil dan bayi akibat keradangan dan kesesakan pada saluran udara kecil paru-paru yang menyebabkan batuk dan kesukaran bernafas. – Bernama, 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen