PM Singapura hadir Sidang Kemuncak Asean


Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong akan mengetuai delegasi negara itu ke Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 di Phnom Penh, Kemboja.– Gambar EPA, 10 November, 2022.

PERDANA Menteri Lee Hsien Loong akan mengetuai delegasi Singapura ke Sidang Kemuncak Asean ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan selama empat hari sehingga 13 November 2022 di Phnom Penh, Kemboja, menurut Pejabat Perdana Menteri (PMO) republik itu.

Dalam kenyataan di laman sesawangnya hari ini, PMO berkata dengan tema Kepemimpinan Asean Kemboja iaitu “Asean A.C.T.: Menangani Cabaran Bersama”, para pemimpin Asean akan membincangkan cara untuk Asean untuk terus menjunjung semangat usaha kolektif dalam mempromosi keamanan, kemakmuran dan kestabilan di rantau ini untuk pulih daripada Covid-19.

“Memandangkan Asean meraikan ulang tahunnya yang ke-55 pada 2022, para pemimpin juga akan mengambil kira pencapaian Asean dan melakar jalan ke hadapan dalam usaha memperkukuh kerjasama serantau dan mengeratkan Kepusatan Asean, sambil bertindak balas secara berkesan terhadap cabaran serantau dan global,” kata PMO.

“Para pemimpin akan bertukar-tukar pandangan mengenai perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk keadaan yang semakin teruk di Myanmar,” katanya.

Sebagai sebahagian daripada program Sidang Kemuncak, PMO berkata pemimpin Asean akan bertemu dengan pelbagai rakan luar semasa Sidang Kemuncak Asean Campur Tiga ke-25, Sidang Kemuncak Asia Timur ke-17, dan Sidang Kemuncak dengan Australia, Kanada, China, India, Jepun, Republik Korea, dan Amerika Syarikat.

PMO berkata Lee akan diiringi Menteri Hal Ehwal Luar Dr Vivian Balakrishnan serta pegawai dari Kementerian Luar Negeri.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Lawrence Wong akan menjadi pemangku perdana menteri semasa ketiadaan Lee, katanya. – Bernama, 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen