Momentum calon BN Kelantan pada landasan terbaik, kata Ahmad Jazlan


Calon Barisan Nasional Parlimen Machang Ahmad Jazlan Yaakub optimis parti itu mampu mencapai sasaran memenangi sembilan kerusi Parlimen di Kelantan.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

MOMENTUM kesemua calon Barisan Nasional (BN) Kelantan dalam tempoh kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) setakat ini berada pada landasan terbaik, kata Pengerusinya Ahmad Jazlan Yaakub.

Beliau yang juga calon BN di Parlimen Machang berkata sokongan rakyat terhadap calon juga dilihat semakin meningkat, berikutan usaha dan gerak kerja yang dilakukan oleh jentera dalam memastikan pengundi di kawasan berkenaan, memperoleh manfaat dengan sebaik mungkin.

“Kita harap pengundi di negeri ini terus beri peluang kepada calon BN untuk menang,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan pertemuan dengan calon-calon BN Kelantan di Bukit Tiu, di Machang hari ini.

Ahmad Jazlan berkata beliau masih optimis BN mencapai sasaran memenangi sembilan kerusi Parlimen di Kelantan.

Pada PRU14, BN Kelantan memenangi lima daripada 14 kerusi Parlimen iaitu Machang, Ketereh, Jeli, Tanah Merah dan Gua Musang, namun hilang dua kerusi selepas itu selepas penyandang kerusi Parlimen Jeli Mustapa Mohamed dan Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah) bertindak keluar Umno dan menyertai Bersatu. – Bernama, 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen