KJ yang mahu tanding di Sungai Buloh, kata Zahid


Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi Berkata Khairy Jamaluddin sendiri yang memilih untuk bertanding di Sungai Buloh pada PRU15 ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

KHAIRY Jamaluddin yang memilih untuk bertanding di Parlimen Sungai Buloh, sebab itu beliau diletakkan di kubu Pakatan Harapan (PH), kata Ahmad Zahid Hamidi.

“KJ yang minta diberikan peluang bertanding di sana (Parlimen Sungai Buloh) dan saya tunaikan permintaannya,” kata pengerusi Barisan Nasional (BN) itu kepada pemberita selepas melawat Bilik Gerakan Pilihan Raya Titiwangsa malam tadi.

Penyandang Parlimen Bagan Datuk itu berkata cita-cita menteri kesihatan sementara itu untuk menjadi perdana menteri bergantung kepada pilihan raya umum seterusnya.

Khairy, penyandang Parlimen Rembau, akan bertanding buat kali pertama di Sungai Buloh, selepas beliau terpaksa memberi laluan kepada Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan, yang juga ketua bahagian Rembau.

Pada Selasa, ketika berceramah di Taman Saujana Utama, Sungai Buloh, Khairy menyatakan hasratnya untuk menjadi perdana menteri suatu hari nanti.

Beliau memberitahu pengundi jika mereka mengundinya, maksudnya mereka mengundi bakal perdana menteri.

“Kalau orang Sungai Buloh sokong saya, saya boleh maklumkan kepada orang parti, saya datang ke kandang naga dengan majoriti 26,000, menang untuk kerusi BN.

“Saya mahu memimpin parti dan saya mahu menerajui negara,” jelasnya.

Pada PRU15 ini, Khairy akan bersemuka dengan R Ramanan dari Pakatan Harapan (PH), Ghazali Hamin (Perikatan Nasional), Akmal Yusoff (Pejuang), Ahmad Zukri Faisal (Parti Rakyat Malaysia) dan dua lagi calon bebas.

Penyandang Sungai Buloh tiga penggal R. Sivarasa yang telah digugurkan oleh PH atas sebab kesihatan. – 10 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen