Pasar, lokasi tumpuan jadi platform kempen bersemuka 


Pasar malam menjadi antara lokasi pilihan calon pilihan raya untuk berkempen secara bersemuka.– Gambar fail The Malaysian Insight, 10 November, 2022.

KEMPEN secara bersemuka masih menjadi pilihan calon-calon yang bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) di Pahang, menyaksikan kunjungan calon bersama jenteranya saling bersilih ganti memasuki lokasi tumpuan awam di negeri ini. 

Pekan sehari, restoran dan kedai makan serta pasar malam antara ‘lokasi popular’ calon-calon untuk mengadakan sesi tinjauan mesra bagi mendekati pengundi secara santai untuk memperkenalkan diri dan menerangkan misi serta visi mereka, baik kepada penyandang, calon lama atau muka baharu. 

Sehari selepas proses penamaan calon pada 5 November lepas umpamanya, Perdana Menteri Ismail Sabri Yaakob yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera bertembung dengan ‘seterunya’ Abas Awang dari Pakatan Harapan (PH), semasa kedua-duanya sedang menyantuni pengunjung dan peniaga di Pekan Sehari Kerayong. 

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Pahang Saifuddin Abdullah pula berkunjung ke pasar pagi, pasar raya dan pasar malam di sekitar Parlimen Indera Mahkota bagi mendekati pengundi.

Aktiviti sukan dan sembang santai juga menjadi medium berkempen khususnya bagi mendekati golongan belia, memandangkan buat kali pertama, mereka yang berusia di bawah 21 tahun layak menunaikan kewajipan memilih pemimpin negeri dan negara.

Antara yang turun bersukan dengan menyertai bola sepak adalah Timbalan Menteri Kewangan Mohd Shahar Abdullah yang merupakan calon Barisan Nasional (BN) di Paya Besar serta muka baharu BN di Dewan Undangan Negeri (DUN) Dong Fazli Mohamad Kamal. 

‘Nakhoda Perang’ setiap parti yang bertanding juga tidak menang tangan untuk turut sama berkempen.  

Menteri Besar Wan Rosdy Wan Ismail selaku Pengerusi BN Pahang menjelajah daerah ke daerah seperti Bentong, Raub, Temerloh, Maran dan Kuantan bagi berkempen untuk anak-anak buahnya selain bertemu jentera parti bagi menyuntik semangat mereka.  

Nama-nama besar parti seperti Presiden PAS yang juga Timbalan Pengerusi PN Abdul Hadi Awang bertemu pengundi di Temerloh sebelum melancarkan manifesto PN di Jerantut pada malam Selasa, Timbalan Presiden PKR Rafizi Ramli pula turun berceramah di Kuantan, manakala Pengerusi DAP Lim Guan Eng dan Timbalannya Gobind Sigh Deo berceramah di Bentong. 

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 19 November ini sebagai hari pengundian manakala 15 November adalah hari pengundian awal.– Bernama, 10 November, 2022.



Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen