Biden sedia bekerja dengan Republikan selepas kejutan Demokrat pada pilihan raya 


Presiden Joe Biden berkata beliau akan bertemu dengan pemimpin parti Republikan dan Demokrat untuk membincangkan kerjasama selepas lawatannya ke Indonesia untuk G20.– Gmabar EPA, 10 November, 2022.

PRESIDEN Joe Biden pada Rabu menyifatkan pilihan raya pertengahan penggal sebagai “hari yang baik” untuk demokrasi dan berkata beliau bersedia untuk bekerjasama dengan Republikan.

Bercakap sehari selepas pilihan raya bagi memilih kedua-dua ahli dewan Kongres, Biden berkata beliau akan bertemu dengan pemimpin parti Republikan dan Demokrat untuk “membincangkan cara kami boleh bekerjasama untuk tempoh berbaki tahun ini” selepas lawatannya ke Indonesia untuk G20.

“Ia adalah hari yang baik, saya fikir, untuk demokrasi,” kata Biden, merujuk kepada pilihan raya Selasa dengan jangkaan kemenangan besar oleh Republikan tidak berlaku.

“Demokrasi kita telah diuji sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dan menerusi undi mereka rakyat Amerika telah bersuara dan membuktikan sekali lagi kita adalah demokrasi,” katanya seperti dilaporkan oleh Anadolu Agency.

Presiden AS itu juga berkata “pengundi masih kecewa,” namun menambah bahawa pentadbirannya “baru bermula.”

“Saya optimis tentang bagaimana orang ramai akan lebih menerima apa yang telah kami lakukan,” katanya

“Demokrat mencatatkan keputusan yang hebat,” kata Biden. “Ramalan akhbar dan pakar bahawa gelombang merah akan menang besar, tidak berlaku”.

Ditanya sama ada beliau sedang mempertimbang untuk bertanding jawatan presiden pada 2024, Biden berkata: “Niat kami adalah untuk bertanding semula, tanpa mengira apa keputusan dalam pilihan raya ini.”

Biden berkata beliau akan mengesahkan sama ada beliau akan bertanding pada “awal tahun depan.” – Bernama, 10 November, 2022.


 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen