PEMILIK Facebook, Meta, akan menamatkan khidmat lebih 11,000 kakitangannya dalam “perubahan paling sukar yang kami buat dalam sejarah Meta,” kata bos Mark Zuckerberg pada Rabu.
Beliau berkata pemberhentian pekerja itu mewakili 13 peratus daripada tenaga kerja raksasa media sosial itu dan akan menjejaskan makmal penyelidikannya yang memfokuskan pada metaverse serta aplikasinya, termasuk Facebook, Instagram dan WhatsApp.
Industri teknologi itu berada dalam kemerosotan dan beberapa firma utama telah mengumumkan pemberhentian secara besar-besaran antaranya termasuk pemilik baharu Twitter, Elon Musk, yang memecat separuh kakitangannya minggu lepas.
“Saya mahu bertanggungjawab untuk keputusan ini dan bagaimana kami sampai di sini,” kata Zuckerberg dalam nota kepada kakitangan.
“Saya tahu ini sukar untuk semua orang, dan saya sangat memohon maaf kepada mereka yang terjejas.”
Zuckerberg memberitahu 87,000 kakitangannya yang beliau menjangkakan peningkatan dalam e-dagang dan aktiviti dalam talian semasa pandemik Covid akan berterusan, tetapi menambah: “Saya tersilap, dan saya bertanggungjawab untuk itu.”
Langkah-langkah itu juga merupakan mesej kepada Wall Street, di mana prestasi buruk syarikat telah menyebabkan harga saham Meta menjunam sebanyak 70 peratus sejak awal tahun ini.
Kemelesetan itu telah menjejaskan syarikat di seluruh sektor, dengan Apple dan Amazon juga baru-baru ini mengumumkan keputusan yang mengecewakan pelabur.
Tetapi Meta juga menghadapi beberapa masalah uniknya sendiri.
Syarikat yang berpangkalan di California itu dihimpit oleh keputusan Zuckerberg untuk menumpukan berbilion-bilion dolar untuk membangunkan metaverse, versi web yang diakses melalui set kepala realiti maya.
Zuckerberg menamakan semula syarikat Meta setahun yang lalu untuk mencerminkan komitmen terhadap projek itu, tetapi bahagian yang bekerja pada teknologi metaverse sejak itu telah mengalami kerugian lebih daripada AS$3.5 bilion.
Facebook juga sedang bergelut untuk menangkis TikTok milik China, media sosial yang kini dominan untuk pengguna muda sehingga menjejaskan Instagram Meta. – AFP, 10 November, 2022.
Komen