RUSIA mengarahkan tenteranya berundur dari bandar Kherson di selatan Ukraine pada Rabu sekali gus menjadi tamparan hebat dalam operasi ketenteraannya di Ukraine.
Pegawai di Kyiv berkata tentera Rusia tidak mungkin meninggalkan bandar strategik itu tanpa tempur, manakala Presiden Amerika Syarikat (AS) Joe Biden mendakwa pengunduran itu bukti Moscow ada “masalah” di medan perang.
“Mula tarik keluar tentera,” kata Menteri Pertahanan Rusia Sergei Shoigu pada pertemuan dengan komander Rusia di Ukraine, Sergei Surovikin yang disiarkan di televisyen.
Komander itu mencadangkan “keputusan sukar” berundur dari bandar tersebut dan menubuhkan pertahanan di tebing timur Sungai Dnipro.
Bandar Kherson ialah hab bandar pertama yang ditawan Rusia semasa “operasi ketenteraan khas” dan satu-satunya ibu kota wilayah yang dikawal oleh tentera Moscow sejak serangan bermula pada 24 Februari.
Di Kyiv, Presiden Ukraine Volodymyr Zelensky berkata tenteranya “bergerak dengan sangat berhati-hati, tanpa emosi, tanpa risiko yang tidak perlu, demi kepentingan membebaskan semua tanah kita dan supaya mendapat kerugian sekecil mungkin.”
“Musuh tidak beri kita hadiah, tidak buat ‘isyarat muhibah’, kita menang semuanya,” kata Zelensky dalam ucapan hariannya.
Penasihat presiden Mykhaylo Podolyak berkata beberapa tentera Rusia kekal di bandar itu.
“Kami tidak melihat tanda-tanda yang Rusia meninggalkan Kherson tanpa bertempur,” katanya di Twitter. – AFP, 10 November, 2022.
Komen