SEORANG wakil rakyat di Pennsylvania, Amerika Syarikat (AS) yang meninggal dunia akibat kanser bulan lepas telah dipilih semula dengan margin yang sangat besar, kata laporan berita yang memetik keputusan awal.
Tony DeLuca, dari parti Demokrat yang mewakili pinggir bandar Pittsburgh di dewan perundangan negeri, meninggal dunia akibat limfoma pada usia 85 tahun 9 Oktober lepas. Ia sudah terlambat untuk keluarkan namanya daripada senarai calon pada pilihan raya perundangan AS pada Selasa.
DeLuca mengekalkan kerusinya dengan 86 peratus undi, dengan undi 98 peratus kertas undi dikira.
Pilihan raya khas kini akan diadakan bagi menentukan siapa yang mendapat kerusinya.
“Walaupun kami sangat sedih dengan kehilangan Wakil Rakyat Tony DeLuca, kami berbangga melihat pengundi terus menunjukkan keyakinan mereka terhadap beliau dan komitmennya terhadap nilai-nilai Demokrat dengan memilihnya semula secara anumerta,” kata Parti Demokrat Pennsylvania. – AFP, 10 November, 2022.
Komen