Faktor calon punca Perikatan bakal dipilih di Perak Utara, kata Hamzah


Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata rakyat sudah muak dengan politik tidak sihat atau kotor sekali gus akan memilih gabungan itu di Utara. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2022.

FAKTOR calon yang bersih dan diterima pengundi bakal menjadi pemangkin kepada kejayaan Perikatan Nasional (PN) terutama di empat kerusi Parlimen di utara Perak yang ditandingi calon gabungan itu pada Pilihan Raya Umum ke-15.

Setiausaha Agung PN Hamzah Zainudin berkata rakyat sudah muak dengan politik tidak sihat atau kotor sekali gus akan memilih gabungan itu di Parlimen Bukit Gantang, Larut, Bagan Serai dan Parit Buntar nanti.

“Kita ada strategi dalam memastikan momentum terus memihak kepada kita. Kita mahu pastikan apabila memilih PN, pengundi akan dapat pemimpin bersih yang bukan pentingkan diri sendiri sebaliknya berkhidmat kepada rakyat.

“Kita pernah jadi kerajaan. Kita tahu apa yang boleh dan tidak boleh dibuat malah manifesto kita pun berbeza, lebih komprehensif dan berdaya maju,” katanya selepas melawat Pusat Daerah Mengundi Bukit Bertam Batu Kurau di Batu Kurau hari ini.

Hamzah yang juga Menteri Dalam Negeri berkata beliau menyerahkan kepada polis insiden kes khianat membabitkan bahan kempen seperti bendera dan poster calon yang dirosakkan atau hilang.

“Setiap kali PRU, memang ini biasa berlaku. Kita ada pihak berkuasa… Saya serahkan kepada pasukan keselamatan negara untuk menjalankan siasatan,” katanya. – Bernama, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen