PRU15: Apa pilihan yang ada?


SERAMAI 945 calon bertanding dalam PRU 15. Nampaknya tiada gabungan yang akan menang cukup kerusi untuk bentuk Kerajaan.

Hakikatnya pesaing sebenar terdiri empat gabungan yang mempertaruh cukup calon untuk bentuk Kerajaan.

Mereka adalah Barisan Nasional dipimpin Umno, PH atau Pakatan Harapan dipimpin Anwar Ibrahim, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR); Perikatan Nasional, Kerajaan Pintu belakang dipimpin Mahiaddin Yassin; Gerakan Tanah Air yang bertanding sebagai Parti Pejuang Tanahair kerana GTA masih belum didaftar Kerajaan.

Siapa yang patut pengundi pilih:
i. Barisan Nasional – BN dipimpin oleh Umno yang mana Presidennya dan PM Malaysia ke-6 sedang dipenjara kerana mencuri wang Kerajaan, salahguna kuasa dan rasuah.

Selepas empat tahun dibicara, tiga peringkat mahkamah, sembilan Hakim sebulat suara dapati Najib bersalah atas semua pertuduhan dan dihukum penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta.

Selepas Najib letak jawatan sebagai Presiden Umno dan Pengerusi Barisan Nasional, Zahid Hamid ambil alih.

Zahid juga hadapi tuduhan merasuah dan sedang dibicara. Jika bersalah, Zahid akan sertai Najib dalam penjara.

Zahid juga beritahu pemimpin BN bahawa jika BN kalah dalam pilihanraya mereka juga akan didakwa.

Zahid mahu BN menang atas sebab nak selamatkan pemimpin-pemimpin BN dari dipenjara, dan menghapus tuduhan-tuduhan terhadap pemimpin BN.

Apa jadi kepada rakyat dan negara tidak dipeduli Zahid dan BN.

Selepas dia janji Ismail Sabri akan jadi PM jika BN menang, ada laporan mengatakan calon-calon perlu isytihar Zahid Hamidi akan jadi PM jika BN menang.

Walaupun Zahid dan Umno nafi kewujudan pengisytiharan itu, tidak ramai yang percaya.

ii. Keduanya PH atau Pakatan Harapan.

Parti ini kalahkan BN dalam PRU-14 dan bentuk Kerajaan.

Selepas jadi Kerajaan, parti komponen DAP menjadi angkuh dan mahu tamatkan kontrak-kontrak besar dengan syarikat ternama.

DAP lupa bahawa ribuan pekerja telah digaji dalam projek-projek ini. Menamatkan kontrak akibatkan ribuan pekerja hilang kerja.

PH mahu Anwar Ibrahim jadi Perdana Menteri. Anwar tidak layak. Semasa memangku jawatan PM pada tahun 1997 ketika saya bercuti, dia tidak tahu urus kewangan negara.

Semasa krisis kewangan tahun 1997-1998 dia memilih untuk akur kepada kehendak IMF dan Bank Dunia. Jika dituruti negara ini akan bankrap.

Memilih PH sebagai Kerajaan Malaysia akan membankrapkan negara ini.

iii. Ketiga Perikatan Nasional (PN)

Parti ini menubuh Kerajaan Malaysia melalui pintu belakang.

Mahiaddin pun jadilah perdana menteri. Ini berpunca dari Najib yang mahu bentuk Kerajaan yang boleh hapus pertuduhan dihadapinya.

Tetapi Kerajaan PN di bawah Mahiaddin tidak boleh hentikan Najib dari didapati bersalah ke atas tuduhannya dan dihukum penjara 12 tahun.

Mahiaddin sendiri juga tidak cekap dan tidak mampu tangani masalah ekonomi, politik dan sosial berpunca dari pandemik Covid-19.

Najib kemudian tuntut mahu orang Umno jadi PM. Najib bersama 15 ahli parlimen tarik sokongan dari Kerajaan Mahiaddin dan Mahiaddin jatuh.

Kemudian Ismail Sabri dari Umno dicalon sebagai PM. Amat malang buat Najib apabila Ismail juga tidak mampu halang Najib dari dipenjara.

Melalui Zahid, tekanan dibuat ke atas Ismail untuk bubar Parlimen dan adakan pilihanraya.

Ismail mengalah selepas dia dijanjikan BN akan menang dalam pilihanraya dan calonkan dirinya sebagai PM.

Tetapi kesemua pemimpin kanan Umno yang rapat dengan Ismail dicantas dan timbul spekulasi bahawa Ismail sekadar kambing hitam.

Najib berharap jika BN menang besar dalam PRU15 dan memperoleh pengampunan diraja. Dia juga mahu kesemua tuduhan dalam kes 1MDB dihapus.

Selepas itu Najib akan dibenar bertanding dalam pilihanraya dan dilantik sebagai PM jika menang.

Di masa depan nanti akan ada seorang penjenayah yang disabit kesalahan menjadi PM di negara ini.

Apakah pengundi mahu ini terjadi?

iv. Parti keempat yang turut bertanding membentuk Kerajaan Malaysia ialah Gerakan Tanah Air (GTA)

GTA ialah gerakan orang Melayu menentang Melayu Umno yang korup.

Melayu korup hancurkan negara ini dan jentera Kerajaan. Melalui pintu belakang, Kerajaan pilihan rakyat dijatuhkan. Najib harap pertuduhan terhadapnya akan dihapus.

Tetapi Kerajaan Mahiaddin gagal tunaikan.

Jadi Najib tarik sokongan dan lantik Ismail Sabri dari Umno jadi PM.

Dalam PRU15 ini orang Melayu dari GTA dapati mereka bertentangan dengan parti lain termasuk Melayu Umno.

Seperti dikaitkan di atas, Umno di bawah Najib dan kleptokrat yang lain telah hancurkan negara ini, menjadikannya negara pencuri yang tidak stabil.

Rakyat sengsara dari pentadbiran yang tidak cekap. Tanda-tanda negara gagal sudahpun ada.

Kita mungkin tidak jadi seperti Sri Lanka, atau Lubnan dan Iraq. Tetapi kita sedang menuju ke arah itu.

Jika pengundi pilih mereka yang jadi punca kepada kegagalan ini atau mereka yang tubuh Kerajaan dari pintu belakang, maka kegagalan akan terjadi. 

Tetapi jika pengundi bijak pilih mereka yang bebas dari tindakan mahkamah kerana tidak terlibat dalam jenayah, mereka yang berpengalaman dalam Kerajaan dan pembangunan, mereka yang patuh kepada undang-undang, maka kita ada peluang untuk pulih semula negara tercinta ini dan kebajikan rakyat akan terbela. – 9 November, 2022.

* Dr Mahathir Mohamad, Pengerusi Gerakan Tanah Air (GTA)


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen