ASEAN memperbaharui perjanjian kerjasama dengan Hungary bagi mengukuhkan lagi kerjasama strategik dalam pendidikan terutama dalam rangkaian akademik dan penyelidikan.
Inisiatif itu akan menyokong pelajar Asean dan Hungary untuk mengikuti disiplin dalam kejuruteraan sains tulen, teknologi maklumat dan komunikasi, perubatan dan sains hayat.
Ini juga akan menggalakkan pelajar dan pendidik cemerlang untuk melanjutkan pengajian jangka pendek dan penuh atau menjalankan penyelidikan bersama di institusi pengajian tinggi masing-masing, kata Sekretariat Asean.
Setiausaha Agung Asean Lim Jock Hoi dan Duta Besar Hungary ke Indonesia Lilla Karsay memperbaharui dan menandatangani perjanjian itu pada Isnin di bangunan Sekretariat Asean, di Jakarta, Indonesia.
Dalam kenyataan yang disiarkan di laman sesawangnya hari ini, sekretariat itu berkata perjanjian itu berkuatkuasa selama tiga tahun dan mungkin diperbaharui untuk tiga tahun lagi.
Kerjasama itu adalah berdasarkan kejayaan pelaksanaan perjanjian sebelumnya yang dimuktamadkan pada 20 September 2020.
Hungary anggota Kesatuan Eropah sejak 2015 mempunyai seramai 9.7 juta penduduk dan terkenal atas kekayaan sumber air termal dan air mineral asli serta keindahan landskapnya. – Bernama, 9 November, 2022.
Komen