Lebih 570,000 Krathong dikumpul selepas Pesta Loy Krathong di Bangkok 


Masyarakat Thailand percaya dengan mengapungkan krathong yang dihias di tasik, sungai, terusan dan laut dapat menghilangkan nasib malang dan perasaan negatif.– Gambar EPA, 9 November, 2022.

LEBIH 570,000 krathong (bakul terapung) dikutip oleh pekerja Pentadbiran Metropolitan Bangkok (BMA) selepas sambutan Pesta Loy Krathong malam Selasa.

Jurucakap BMA Ekwanyu Amrapan dalam satu kenyataan berkata pekerjanya telah mengutip sekitar 572,602 krathong dari Sungai Chao Phraya, terusan dan tasik di taman-taman awam di Bangkok.

“Tahun ini, jumlah kutipan krathong meningkat sebanyak 169,367 berbanding tahun lalu.

 “Daripada jumlah krathong yang dikumpul, 548,086 atau 95.7 peratus diperbuat daripada bahan biodegradasi manakala 24,516 atau 4.3 peratus diperbuat daripada bahan bukan biodegradasi,” katanya.

Sementara itu, semua krathong yang ditemui di tujuh daerah di Bangkok iaitu Lak Si, Din Daeng, Bang Rak, Sathorn, Chom Thong, Bangkok Yai, dan Thawi Watthana diperbuat daripada bahan biodegradasi.

Pesta Loy Krathong disambut ketika bulan purnama pada bulan ke-12 dalam kalendar lunar Thailand.

Dikenali sebagai “Festival of Lights”, masyarakat Thailand yang merayakan sambutan itu akan mengapungkan krathong yang dihiasi dengan bunga dan daun pisang termasuk lilin dan kemenyan diletakkan di tengah-tengah untuk memberi penghormatan kepada dewi air.

Masyarakat Thailand percaya dengan mengapungkan krathong yang dihias di tasik, sungai, terusan dan laut - dipercayai dapat menghilangkan nasib malang dan perasaan negatif. – Bernama, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen