.jpg)
SEORANG wartawan dari sebuah media harian menanyakan saya komen mengenai manifesto Barisan Nasional (BN) berhubung kepentingan memasukkan agenda wanita di manifesto dan kenapa undi wanita penting.
Jawapan saya rakyat atau pengundi tidak menumpukan kepada manifesto dan mereka sudah tidak mempercayainya.
Pengalaman PRU14 sudah menunjukkan apabila berhadapan dengan pengkhianatan dan Langkah Sheraton, manifesto sudah ke laut atau menjadi tidak keruan.
Walau bagaimana indah, bernas dan cantiknya ayat dan perkataannya, janji manis dan wacananya apabila berhadapan dengan pemimpin yang khianat dan korup, manifesto tidak akan bererti satu sen pun walaupun ia suatu keperluan ketika berhadapan dengan pilihan raya.
Jika manifesto ditunaikan, kumpulan kartel atau kroni politik manakah yang akan mendapat tendernya?
Berbalik kepada soalan apakah makna atau erti mengadakan pilihan raya? Jawapan Umno dan Barisan Nasional (UBN) ingin mengadakan pilihan raya sekarang adalah mengembalikan mandat rakyat.
Jawapan inilah yang selalu diberikan parti-parti politik – mandat rakyat. Rakyat yang mengundi memilih parti atau kumpulan atau individu mana yang akan mewakili mereka.
Hakikatnya pilihan raya menentukan barisan kepimpinan dan pemimpin dan tanggungjawab mereka dalam menentukan masa depan, kemajuan dan pembangunan negara.
Semua manifesto, dasar dan pembangunan negara, hak rakyat, pembaikan sistem ekonomi-sosial rakyat adalah penting tetapi menjadi sia-sia dan tidak berguna sekiranya pilihan raya gagal melahirkan barisan pemimpin bertrampilan, jujur, amanah dan cekap.
Jika urus tadbir tidak jalankan dengan penuh komitmen dan seluruh sistem pentadbiran disarati dengan barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral tidak ada apapun yang akan membawa manfaat untuk rakyat.
Jika selepas pilihan raya barisan kepimpinan dan pemimpin kebanyakannya adalah pencuri dan perompak politik maka yang memenuhi kehidupan mereka dalam berhadapan dengan rakyat akan sentiasa disaluti dengan pembohongan, sandiwara dan kemunafikan.
Mengapakah mereka yang mengatakan pembela Melayu tetapi masih ramai orang Melayu yang terus miskin, melarat dan keterbelakang dalam ekonomi dan moral? Apa yang mereka bela sebenarnya?
Kadar kemiskinan negara meningkat kepada 8.4% pada 2020 berbanding 5.6% yang direkodkan pada 2019. Apa yang kerajaan lakukan bagi mengaatasi adakah diam membisu sahaja?
Mengapa banyak kes rasuah dalam kalangan pemimpin dan barisan kepimpinan kita?
Ini menunjukkan pilihan raya telah gagal melahirkan kepimpinan yang jujur dan amanah.
Sebagai pengundi tentukan barisan kepimpinan dan pemimpin yang akan memandu negara kita ke arah pro rakyat bukannya pro parti, kelompok atau kroni tertentu dan bebas rasuah.
Jika tidak, pilihan raya yang diadakan adalah pilihan raya yang gagal. Jika rakyat terus memilih pemimpin dan barisan kepimpinan yang rasuah dan tidak bermoral ia akan membawa kehancuran kepada negara dan kesengsaraan kepada rakyat.
Saya ingin memetik pesanan Imam Abdul Rahman Al-Kawakibi tentang ketakutan pemimpin korup.
“Sepertimana pemimpin korup sangat takutkan rakyatnya apabila berpengetahuan kerana akhirnya rakyat yang berpengetahuan akan mengetahui hak-hak mereka yang sepatutnya si pemimpin lunasnya.”
Pilihan raya kali ini sangat kritikal dalam menentukan masa depan negara ini. – 9 November, 2022.
* Ismail Hashim Yahaya, pensyarah di Universiti Selangor.
Komen