Kemboja sambut ulang tahun kemerdekaan ke-69 


KEMBOJA pada Rabu meraikan ulang tahun ke-69 kemerdekaannya daripada Perancis pada satu majlis selama sejam di Monumen Kemerdekaan di ibu negara di Phnom Penh.

Raja Norodom Sihamoni yang diiringi Perdana Menteri Samdech Techo Hun Sen dan pegawai kerajaan lain meletakkan kalungan bunga dan menyalakan api upacara kemenangan di Monumen Kemerdekaan sebagai lambang kemerdekaan negara itu, lapor Xinhua.‘

Majlis itu turut dihadiri diplomat asing, angkatan tentera, penjawat awam, rakyat dan pelajar.

Hun Sen berkata 9 November mengingatkan rakyat tentang misi mulia yang dilancarkan oleh mendiang Raja Kemboja Norodom Sihanouk yang menuntut kemerdekaan daripada Perancis.

“Raja Norodom Sihanouk, Bapa Kemerdekaan, telah mengorbankan tenaga fizikal dan mental dalam perjuangannya untuk mendapatkan kemerdekaan penuh bagi Kemboja,” tulis perdana menteri di media sosial.

Pada akhir upacara sambutan itu burung merpati dan belon dilepaskan sebagai tanda kemerdekaan dan kebebasan.

Negara Asia Tenggara itu memperoleh kemerdekaannya pada 9 November 1953, selepas 90 tahun di bawah pemerintahan penjajah Perancis. – Bernama, 9 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen