PERTEMPURAN menggegarkan kawasan di timur Ghouta di Syria berikutan pasukan tentera rejim mahu mengambil semula kawasan yang dirampas dalam serangan di kawasan penempatan utama berhampiran Damsyik.
Pasukan yang setia kepada Presiden Bashar al-Assad melancarkan serangan awal bulan ini dengan beberapa siri serangan udara, serangan meriam serta roket yang dilaporkan menyebabkan 640 orang awam terbunuh.
Di bawah tekanan antarabangsa untuk menamatkan pertumpahan darah, pasukan rejim yang disokong Rusia minggu lalu mengisytiharkan “gencatan senjata kemanusiaan” selama lima jam di kawasan konflik. Namun ketika serangan udara dihentikan, serangan darat masih lagi berterusan.
Tentera rejim bertempur dengan pasukan pemberontak di kawasan timur penempatan pemberontak pada Ahad, kata pasukan pemerhati dan hak asasi manusia Syria.
Selepas mara dalam masa beberapa hari, pasukan tentera rejim dilihat berjaya merampas 10 peratus daripada wilayah berkenaan.
Ketua pasukan pemerhati yang berpangkalan di Britain, Rami Abdel Rahman berkata, sekurang-kurangnya 12 tentera rejim terbunuh di dua kawasan, Al-Ruhan dan Shifoniya, dalam pertempuran yang berlarutan semalaman dengan kumpulan pemberontak Jaish al-Islam.
Jaish al-Islam berkongsi kawasan dengan pemberontak yang menguasai Timur Ghouta bersama Faylaq al-Rahman dan Ahrar al-Sham. Damsyik dan Moscow berkata mereka cuba untuk “membersihkan” kawasan pengganas.
Jurucakap Jaish al-Islam, Hamza Bayraqdar menerusi Twitternya berkata kumpulan pejuang berkenaan melancarkan “serangan mengejut” ke arah kedudukan rejim.
Pasukan pemerhati, yang bergantung kepada rangkaian sumber di lapangan untuk memantau perang saudara Syria berkata, pemberonta sudah mengambil alih beberapa kawasan di Shifoniya. – AFP, 4 Mac, 2018.
Komen