Polis Thailand tahan lebih 60,000 individu menjelang mesyuarat APEC


Operasi besar-besaran itu bermula 10 Oktober dan berakhir semalam, bagi membanteras aktiviti senjata api dan dadah di seluruh Thailand menjelang mesyuarat APEC di Bangkok. – Gambar AFP, 9 November, 2022.

POLIS Thailand menahan lebih 60,000 individu dalam tindakan membanteras senjata api dan dadah di seluruh negara menjelang mesyuarat Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Bangkok.

Operasi bermula pada 10 Oktober dan berakhir semalam menjelang Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) di Bangkok dari 18-19 November.

Ketua Polis Negara Jen Pol Damrongsak Kittiprapat berkata polis menahan 10,450 individu dan antara lain merampas 5,345 senjata api haram, 936 senjata api berlesen, 4,342 bahan letupan dan 37,045 butir peluru pelbagai kaliber.

Beliau berkata lebih 43,027 individu ditahan atas pertuduhan dadah manakala 9,255 suspek yang dikehendaki turut ditahan.

“Operasi besar-besaran itu adalah antara langkah berjaga-jaga bagi meningkatkan keselamatan menjelang mesyuarat APEC dalam usaha meningkatkan keyakinan awam dan masyarakat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan semalam.

Thailand selaku pengerusi APEC tahun ini akan menyambut ketibaan pemimpin dan wakil dari 21 ekonomi.

Presiden China Xi Jinping dan Naib Presiden Amerika Syarikat Kamala Harris dijangka menghadiri sidang kemuncak itu.

Selain itu, pemimpin tiga negara bukan ahli juga telah mengesahkan kehadiran masing-masing.

Mereka ialah Putera Mahkota Arab Saudi dan Perdana Menteri Mohammed bin Salman bin Abdulaziz Al-Saud, Perdana Menteri Kemboja Hun Sen sebagai ppengerusi semasa ASEAN, dan Presiden Perancis Emmanuel Macron. – Bernama, 9 November, 2022.          


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen