PRU15: Covid-19, banjir dan teori konspirasi


G Manimaran

PRU15 yang dilabel sebagai unik, luar biasa dan penting ini diharap akan berjalan dengan lancar di bawah semangat demokrasi tulen. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2022.

SEMASA artikel ini sedang dijana, hujan lebat yang berterusan mengiringi aktiviti berkempen di Lembah Klang, pada hari ketiga kelmarin. 

Saya percaya keadaan yang sama dirasai di kebanyakan lokasi di seluruh negara, situasi yang sama sebagaimana telah disaksikan pada hari-hari berikut selepas Parlimen dibubarkan pada 10 Oktober lalu.

Parlimen dibubarkan di tengah-tengah ramalan agensi berautoriti bahawa musim tengkujuh dan kemungkinan banjir yang buruk akan kembali menghantui kita, sebagamana dialami di banyak negeri pada penghujung tahun lepas. 

Dan, ketika Parlimen dan hanya beberapa negeri memutuskan untuk membubarkan dewan perundangan masing-masing, kebimbangan mengenai musim dan banjir tidak dapat dielakkan. 

Enam negeri memutuskan untuk tidak mengikut langkah kerajaan pusat atas alasan tidak mahu membebankan pengundi. Ia antara beberapa perkara yang digariskan sebagai isu dan masalah yang bakal dihadapi ketika musim pilihan raya umum kali ini.

Susulan ramalan Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) bahawa Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu mulai 7 November, dua hari selepas penamaan calon selesai dan akan berterusan sehingga Mac depan, perdana menteri sementara Ismail Sabri Yaakob kelmarin menjelaskan keputusan untuk menghentikan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sekiranya berlaku banjir besar, tertakluk kepada bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR). 

SPR perlu memberi nasihat kepada kerajaan dalam perkara ini.

Ujar Ismail Sabri, persediaan bagaimanapun telah dilakukan lebih awal sebelum pembubaran Parlimen berlaku dengan melibatkan semua agensi di seluruh negara. 

“Kita bersedia tetapi kalau berlaku banjir yang besar, sehinggakan tak membolehkan orang nak keluar (mengundi) sebagainya, maka saya akan berbincang dengan SPR kalau ada alternatif lain,” kata beliau, menambah sekiranya keadaan di luar jangka berlaku maka perbincangan akan dijalankan dengan semua agensi terlibat. 

Ismail Sabri, antara 945 calon yang bertanding kali ini dan mahu mempertahankan kerusi Parlimen Bera di Pahang, menarik perhatian bahawa “kita akan bincanglah dengan Jabatan Meteorologi, Jawatankuasa Pengurusan Bencana akan berbincang, tiada menteri yang terlibat kerana kerajaan sementara… SPR pun boleh beri pandangan, kalau SPR nak menghentikan pilihan raya itu terserah kepada SPR, kerana pilihan raya adalah keputusan SPR.”

Menurut MetMalaysia, jangkaan pihaknya melibatkan empat hingga enam luruan monsun hujan lebat berpotensi banjir. Ketika ditemui media pada 11 Oktober lalu, iaitu sehari selepas pembubaran Parlimen, saya berkongsi bahawa satu-satu pilihan raya termasuk PRU15 boleh ditangguhkan ke satu tarikh yang lebih bersesuaian sekiranya berlaku bencana banjir menjelang dan semasa proses pengundian. Ia boleh dilakukan membabitkan satu-satu bahagian pilihan raya atau seluruh negara. 

Di sebalik pelbagai spekulasi, persepsi dan teori konspirasi, sekiranya tiada pilihan disebabkan banjir, penangguhan perlu melibatkan seluruh negara supaya tidak menjejaskan pola pengundian.

MetMalaysia meramalkan Malaysia akan mengalami Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh lebih awal daripada yang dijangka iaitu mulai 7 November sehingga Mac 2023. – Gambar fail The Malaysian Insight, 9 November, 2022.

Pada awal tahun lepas, Yang di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri telah mengeluarkan proklamasi darurat yang antara lain membolehkan Parlimen dan Dewan Undangan Negeri (DUN) digantung dan beberapa pilihan raya kecil turut ditangguhkan susulan krisis kesihatan yang melanda negara ketika itu, walaupun SPR telah menetapkan tarikh-tarikh penting pilihan raya kecil. 

Selain itu, kesemua PRU yang diramalkan akan dipanggil ketika itu turut ditangguhkan dalam tempoh penggantungan Parlimen dan DUN.

Perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin mengatakan bahawa PRU tidak akan diadakan sepanjang perintah darurat berkuat kuasa sehingga 1 Ogos 2021, dan itu termasuklah pilihan raya negeri mahupun pilihan raya kecil, bagi tujuan membendung penularan jangkitan Covid-19. 

“Mutakhir ini terdapat pihak-pihak yang mendesak supaya pilihan raya diadakan. Saya tak berniat untuk tidak adakan pilihan raya. Perkara utama yang menghalang saya daripada menasihati ke Duli Yang Maha Mulia Yang di-Pertuan Agong agar membubarkan parlimen untuk membolehkan pilihan raya diadakan ialah pandemik Covid-19,” kata beliau dalam pengumuman khas pengisytiharan darurat pada 12 Januari 2021.

Kali ini situasi hampir sama tetapi faktor mendesak agak berbeza. Kesemua melibatkan aspek keselamatan rakyat terutama pengundi jika banjir melanda.

Justeru itu, satu lagi saya melihat mungkin masih ada ruang untuk mengelak daripada mengadakan pengundian pada waktu banjir. Kempen sedang berlangsung walaupun kerancakan belum dirasai. 

Kalau kita melihat kepada situasi atau pengalaman semasa Covid-19, beberapa pilihan raya kecil, walaupun SPR telah menetapkan tarikh, tetapi atas keselamatan rakyat, kesemua telah ditangguhkan. 

Kalau kita mengambil terjemahan kepada kemungkinan tersebut pada hari ini, selepas SPR menetapkan tarikh pilihan raya, dan sekiranya musibah banjir berlaku dan impaknya tidak dapat dielakkan, dan pihak berkuasa perlu memutuskan untuk menangguhkan proses pengundian.

Pada penghujung 2020 dan awal 2021, Seri Paduka Baginda Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengisytiharkan darurat bagi Parlimen Gerik di Perak, serta Parlimen Batu Sapi dan DUN Bugaya di Sabah, sekali gus membatalkan pilihan raya kecil kerusi berkenaan, iaitu selepas SPR menetapkan tarikh-tarikh penting. 

Selepas dua tahun penangguhan, pilihan raya kecil bagi kerusi Bugaya akan diadakan 19 November ini, serentak dengan PRU15. Ini kali pertama satu pilihan raya kecil diadakan bersama PRU.

Sejak beberapa hari lalu kes Covid-19 juga dilaporkan mengalami peningkatan kembali, sekali gus mencetuskan kebimbangan baharu dalam kalangan rakyat.

Ruang untuk menangguhkan tarikh pengundian kepada satu tarikh yang kondusif kepada semua pihak masih ada jika musim tengkujuh menjadi buruk dan menjejaskan keselesaan rakyat. 

Pun begitu kita berharap musim tengkujuh tidak akan menggugat perjalanan proses PRU15 yang kini berbaki 50 peratus. Pembubaran sudah selesai. Proses penamaan calon juga telah selesai, dan kini kempen sedang berlangsung. Dalam 10 hari lagi kita akan keluar mengundi.

Di sebalik polemik musim tengkujuh dan PRU15, kini persepsi negatif mula muncul di lapangan. Pelbagai teori konspirasi turut dibangkitkan oleh sesetengah pihak, yang dikaitkan dengan penangguhan dan peluang kemenangan parti politik pada 19 November ini. 

Diharapkan PRU15 yang dilabel sebagai satu PRU yang unik, luar biasa dan penting ini akan berjalan dengan lancar di bawah semangat demokrasi tulen.

Pengurusan dalam situasi yang kondusif, selesa dan adil kepada pemegang taruh amatlah penting dan ia akan memperkasakan amalan demokrasi. 

Jangan sampai persepsi dan teori konsiprasi menguasai PRU15. – 9 November, 2022.


 

* Dr G Manimaran ialah bekas wartawan berpengalaman membuat liputan pilihan raya sejak 1991 dan mantan ahli tetap Jawatankuasa Khas Penambahbaikan Sistem dan Undang-undang Pilihan Raya (ERC).. Beliau juga penulis bersama buku Pilihan Raya Demokrasi Malaysia: Tanding, Pilih, Menang, Tadbir.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen