Shah Alam banjir ekoran hujan lebat petang tadi


Kalidevi Mogan Kumarappa

Beberapa kawasan dinaiki air di sekitar Shah Alam, petang ini. – Gambar Bomba, 8 November, 2022.

HUJAN lebat berserta angin kencang yang melanda Shah Alam menyebabkan banjir di beberapa kawasan di situ sejak kira-kira jam 3 petang ini.

Hujan yang berterusan sehingga jam 5.30 petang memaksa penduduk di Seksyen 17, Seksyen 24, Seksyen 25, Seksyen 32 dan Kampung Padang Jawa berada dalam keadaan berjaga-jaga.

Mengesahkan kejadian itu, Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim berkata setakat ini ada kenaikan air di sekitar kawasan Sri Muda, Shah Alam.

“Pemantauan sedang dijalankan dari semasa ke semasa dan keadaan masih terkawal.

“Majlis Bandaraya Shah Alam juga sudah membuka parkir bertingkat kepada orang ramai bagi menghadapi sebarang kemungkinan,” katanya.

Longkang tersumbat dipercayai menjadi punca beberapa kawasan di Shah Alam dilanda banjir kilat.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor Norazam Khamis berkata, berdasarkan pemantauan yang dilakukan anggotanya kawasan yang dilanda banjir kilat termasuk, Kota Kemuning; Seksyen 17 ke Seksyen 24 dan Bukit Naga.

“Jalan di kawasan perumahan Bukit Naga dinaiki air sehingga ke paras lutut dipercayai akibat longkang tersumbat.

“Jalan Kota Kemuning dan Seksyen 17 ke Seksyen 24 juga dinaiki air juga berpunca dari longkang tersumbat, bagaimanapun tiada risiko banjir dilaporkan.

“Bomba turut memantau beberapa jalan di Taman Sri Muda, Seksyen 25 iaitu Jalan Waja 25/1; Jalan Mahir; Jalan Makmur; Jalan Harapan dan mendapati tiada risiko banjir. Pam Kunci Air juga beroperasi,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, beberapa rakaman video serta gambar banjir kilat dimuat naik pengguna media sosial yang memaparkan limpahan air di atas jalan raya serta beberapa rumah terkesan akibat insiden berkenaan.

Berdasarkan pemantauan di laman Twitter, pengguna aplikasi itu turut melaporkan berlaku banjir kilat di Kampung Sungai Kandis; Alam Impian; Bukit Jelutong; Seksyen 32 dan Seksyen 36. – 8 November, 2022.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen